Dollah panggil 31 pemain sebab mahu yang terbaik

Jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh memberi penjelasan mengapa beliau memanggil sehingga 31 pemain untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya kali ini.
 
 Menurut Dollah, beliau terpaksa berbuat demikian kerana kesemua pemain tempatan yang dipanggil pada kem latihan fasa pertama untuk Pilihan Malaysia bertemu Tottenham menunjukkan prestasi terbaik dalam latihan dan perlawanan, Rabu lalu.
 
 "Saya sepatutnya menggugurkan lima hingga enam pemain tempatan daripada skuad Pilihan Malaysia bertemu Tottenham tetapi malam selepas perlawanan Rabu lalu, kami terpaksa ubah fikiran untuk mengekalkan semua pemain.
 
 "Ia termasuklah penjaga gol Perak, Zamir Selamat yang pada awalnya hampir pasti diketepikan kerana kita sudah ada penjaga gol yang lebih berpengalaman untuk dipanggil, namun selepas prestasi baiknya bertemu Tottenham, jurulatih penjaga gol, Omar Salim mencadangkan supaya dia dikekalkan.
 
 "Jadi sebab itulah kami terpaksa kekalkan kesemua 16 pemain (kecuali Baddrol Bakhtiar yang cedera) dan kini ditambah dengan kehadiran 15 lagi pemain dari pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Pahang," kata Dollah pada sesi latihan pertama skuad kebangsaan di Padang PKNS, Kelana Jaya, petang tadi.
 
 Ditanya adakah sukar untuk mengendalikan latihan disertai sehingga 31 pemain, Dollah berkata:
 
 "Tiada masalah dari segi latihan. Tapi sukar untuk saya memilih pemain kerana masa pun suntuk. Apa pun untuk mendapatkan yang terbaik, saya terpaksa buat begini.
 
 "Saya dah bincang dengan barisan kejurulatihan, kesemua 31 pemain ini akan kekal berlatih sehingga aksi persahabatan bertemu Hong Kong dan selepas itu baru saya mengumumkan senarai 23 pemain terakhir untuk dua aksi Kelayakan Piala Dunia."
 
 Skuad kebangsaan akan menghadapi perlawanan antarabangsa A bertemu Hong Kong di Stadium Shah Alam, 6 Jun ini sebelum berdepan cabaran sebenar dua aksi awal Kumpulan A bagi kempen Kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 bertemu Timor Leste, 11 Jun dan Palestin, 16 Jun, kedua-duanya di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
 
 "Bertemu Hong Kong nanti bukan sekadar perlawanan pemanas badan. Ini perlawanan antarabangsa A, jadi kita perlu memikirkan soal ranking.
 
 "Sekarang ini, semua aksi persahabatan kita anggap seperti perlawanan sebenar. Kita nak baiki ranking. Jadi perlawanan-perlawanan seperti bertemu Hong Kong ini, kita perlu lebih bersedia.
 
 "Insya-Allah dengan apa yang saya dapat daripada pemain sekarang ini, kita boleh melakukan sesuatu apabila bertemu Hong Kong nanti dan juga dua aksi sulung saingan kelayakan," tambah Dollah.
 
 Malaysia kini di kedudukan ke-166 dunia dalam senarai ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
 
J Category: 
uncategorised7