FAM BERI TAWARAN PROMOSI ‘BELI 1 PERCUMA 1’ TIKET BAGI PERLAWANAN HARIMAU MALAYA LWN TIMOR-LESTE

2019-05-28

Bersempena perlawanan timbal balik Pusingan 1 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Timor-Leste di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 7 dan 11 Jun ini yang jatuh pada Hari Raya Ketiga dan Hari Raya Ketujuh, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berbesar hati untuk memberikan tawaran promosi 'Beli 1 Percuma 1' bagi tiket kedua-dua perlawanan tersebut.

Ia sebagai hadiah Hari Raya Aidilfitri daripada FAM kepada kalangan penyokong setia Harimau Malaya yang tetap akan meluangkan masa turun ke stadium bagi memberikan sokongan padu buat para pemain kebangsaan biarpun ketika itu nanti masih dalam 'mood' berhari raya bersama keluarga, sanak saudara dan rakan taulan.

Harga tiket yang ditetapkan bagi setiap perlawanan di atas ini adalah sama seperti perlawanan-perlawanan Kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia sebelum ini iaitu RM30 bagi tempat duduk terbuka, RM50 bagi tempat duduk grandstand dan RM5 bagi tiket kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun.

Bagaimanapun, dengan tawaran promosi 'Beli 1 Percuma 1' ini, para penyokong akan memperolehi dua tiket pada satu harga apabila mereka hadir ke stadium bagi menonton perlawanan pada 7 Jun dan/atau pada 11 Jun itu nanti bagi semua kategori tiket iaitu grandstand, terbuka dan kanak-kanak.

Sebagai contoh, apabila mereka datang bagi perlawanan pertama pada 7 Jun itu, mereka hanya perlu membeli satu tiket tempat duduk terbuka berharga RM30 dan akan mendapat satu tiket tempat duduk terbuka secara percuma untuk diberikan kepada isteri, suami, abang, kakak, adik, saudara mara atau rakan yang hadir bersama mereka itu. Begitu jugalah untuk perlawanan kedua pada 11 Jun.

Untuk itu, dengan tawaran promosi yang diberikan ini, besar harapan saya untuk melihat para penyokong Harimau Malaya sama-sama hadir ke stadium bagi memberikan sokongan pada 7 dan 11 Jun nanti. Siang hari kita keluar beraya, malam hari jom kita ke stadium!

Pembelian tiket secara online di www.tickethotline.com.my akan bermula lewat malam ini (Selasa, 28 Mei 2019) manakala pembelian di kaunter tiket stadium adalah pada hari perlawanan iaitu pada 7 dan 11 Jun.

Bagi memastikan kelancaran kemasukan penyokong ke stadium untuk kedua-dua perlawanan itu nanti, penggunaan Kod QR yang telah diperkenalkan FAM pada perlawanan-perlawanan membabitkan pasukan kebangsaan, tahun ini akan diteruskan.

 

Stuart Ramalingam

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)