FAM PUJI KESUNGGUHAN PENGURUSAN BAHARU PFA, TERUS BEKERJASAMA DENGAN MFL UNTUK SELESAI TUNGGAKAN GAJI PASUKAN LAIN

2018-12-28

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan Piala FAM 2018, Perlis yang telah sah dipromosikan ke saingan Liga Premier 2019, seperti diumum oleh Malaysian Football League (MFL) dalam satu kenyataan, hari ini.

Biarpun umum mengetahui Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) masih berhutang tunggakan gaji pemain dan pegawainya bagi musim 2016 dan 2017, hal berkenaan sebenarnya sedang diselesaikan oleh pengurusan baharu PFA diketuai presidennya, Dato' Ahmad Amizal Shaifit Haji Ahmad Rafie yang sebelum ini telah pun berjaya menyelesaikan tunggakan gaji pemain musim 2018.

Bagi pihak FAM, usaha dan kesungguhan pengurusan baharu PFA ini wajar dipuji kerana ia secara langsung dapat mengelak daripada sebuah lagi pasukan/kelab terkubur atau terpaksa ditutup ekoran tiada pihak yang mahu tampil menyelamatkan masalah kewangan yang dihadapi sebelum ini.

Untuk makluman, perbincangan antara pihak FAM, MFL dan PFA yang berlangsung semalam telah mencapai persetujuan bagi mekanisme penyelesaian tunggakan gaji pemain Perlis bagi musim 2016 dan 2017 itu.

Sudah tentu pengurusan baharu PFA akan cuba menyelesaikannya dalam tempoh masa 60 hari yang telah ditetapkan kerana jika gagal, PFA tidak akan menerima wang agihan dana daripada FAM dan MFL bagi musim 2019 dan wang berkenaan akan digunakan untuk menyelesaikan tunggakan gaji tersebut.

Sebagai badan induk yang berperanan sebagai penjaga bola sepak Malaysia, FAM sudah tentu akan cuba sedaya upaya untuk membantu dan mencari penyelesaian masalah ahli gabungannya.

Justeru, usaha dan kesungguhan pengurusan baharu PFA ini seharusnya dijadikan contoh terbaik dalam memastikan pembangunan bola sepak Malaysia di peringkat negeri dan kelab khasnya dapat diteruskan demi memartabat serta memeriahkan lagi industri bola sepak negara.

Dalam pada itu, bagi pasukan-pasukan lain yang turut masih mempunyai masalah tunggakan gaji pemain, mekanisme sama akan digunakan iaitu wang agihan dana daripada FAM dan MFL bakal ditahan/dipegang dan ia akan digunakan untuk menyelesaikan tunggakan gaji berkenaan.

Bagi pasukan yang sudah tidak lagi berada dalam sistem Liga Malaysia pula seperti Kuantan FA, Marcerra United, Terengganu City FC, Hanelang FC dan lain, pihak FAM sedang meneliti mekanisme terbaik bagi memastikan nasib pemain-pemain yang masih tertunggak gaji bersama pasukan-pasukan kelab di atas ini terbela.

FAM akan cuba berbincang secara terus dengan pihak tertinggi persatuan bola sepak negeri di mana kelab-kelab ini bergabung serta bertemu individu penting dalam kelab-kelab berkenaan bagi menyelesaikan juga masalah ini.

 

Stuart Ramalingam

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)