FAM SELESAI TERIMA PENCALONAN BAGI PEMILIHAN JAWATANKUASA EKSEKUTIF FAM 2021-2025 DARIPADA KESEMUA 20 AHLI GABUNGAN

2021-02-12

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ingin mengumumkan bahawa kesemua 20 ahli gabungannya telah selesai menghantar borang pencalonan masing-masing bagi Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM 2021-2025 sebelum tarikh akhir pada Khamis, 11 Februari 2021 iaitu sebelum jam 5.30 petang semalam.

Sejurus kemudian iaitu pada jam 6.00 petang semalam, Jawatankuasa Pemilihan FAM yang turut dianggotai oleh tiga ahli jawatankuasa iaitu Dato' Hj Ab Jalil Abdullah, Tuan Haji Salleh Ramli dan Encik Fong Wan Hor terus mengadakan mesyuarat kali ketiganya bagi menyemak kesemua borang yang telah diterima itu.

Dalam borang pencalonan tersebut yang telah diedarkan pada 13 Januari 2021, setiap ahli gabungan diminta untuk mencalonkan nama seorang individu bagi jawatan presiden, dua individu bagi jawatan timbalan presiden, empat individu bagi jawatan naib presiden dan 10 individu termasuk dua wanita bagi jawatan ahli jawatankuasa eksekutif atau exco.

Selepas semakan dibuat, Jawatankuasa Pemilihan FAM telah berpuas hati dan mengesahkan penerimaan semua nama individu yang telah dicalonkan oleh kesemua 20 ahli gabungan tersebut.

Bagi langkah berikutnya, FAM akan menghantar menerusi e-mel, Borang Pengesahan Penerimaan Pencalonan kepada semua individu yang namanya telah dicalonkan oleh 20 ahli gabungan FAM ini untuk mereka membalasnya semula selewat-lewatnya jam 5.30 petang pada Jumaat, 26 Februari 2021.

Pada masa yang sama juga, nama calon-calon tersebut turut telah dihantar ke Unit Integriti FAM bagi proses saringan integriti membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta semakan status kebankrapan dengan Jabatan Insolvensi Malaysia.

Selepas tarikh tutup pengesahan penerimaan pencalonan pada 26 Februari 2021, calon-calon yang telah membalas Borang Pengesahan Penerimaan Pencalonan dengan menyatakan persetujuan untuk bertanding jawatan yang ditetapkan akan disemak nama mereka sama ada lulus saringan integriti dan status kebankrapan berkenaan atau sebaliknya.

Seterusnya, calon-calon yang lulus saringan tersebut akan diumumkan selewat-lewatnya pada Sabtu, 6 Mac 2021 dalam senarai rasmi nama calon yang akan dihantar ke semua ahli gabungan FAM.

Proses pemilihan bagi Jawatankuasa Eksekutif FAM 2021-2025 ini akan diadakan pada Kongres FAM Ke-57 yang dijadual berlangsung pada Sabtu, 13 Mac 2021.

 

Prof. Dato' Dr. Abdullah Mohamad Said

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan FAM