FAS TRI-NATIONS SERIES 2022: MALAYSIA 2-0 FILIPINA

2022-03-24

Skuad kebangsaan, Harimau Malaya berjaya mencatat kemenangan 2-0 ke atas Filipina, pasukan di ranking 129 dunia pada perlawanan pertama FAS Tri-Nations Series 2022 menerusi dua jaringan Akhyar Rashid pada babak pertama di Stadium Nasional, Singapura, malam tadi.

Aksi berstatus Perlawanan Antarabangsa Tier 1 itu merupakan perlawanan pertama skuad Harimau Malaya di bawah pengendali baharu, Kim Pan Gon selepas jurulatih dari Republik Korea itu diumum sebagai ketua jurulatih kebangsaan yang baharu pada 21 Januari 2022 menggantikan Tan Cheng Hoe.

Skuad Harimau Malaya tidak menunggu lama apabila berjaya memperoleh gol pertama seawal minit ketiga menerusi Akhyar yang menerima bola lorongan daripada La'Vere Corbin-Ong sebelum pemain sayap negara itu berjaya memperdayakan pertahanan Filipina, Kike Linares dan melepaskan rembatan deras kaki kanan menewaskan Neil Etheridge.

Selang dua minit kemudian, Syafiq Ahmad berpeluang menggandakan jaringan buat Harimau Malaya tetapi rembatannya selepas menerima bola hantaran Dion Cools dari sebelah kanan sekadar menggegar tiang gol dan percubaan susulan Kogileswaran Raj pula berjaya dikeluarkan di atas garisan gol oleh pertahanan Filipina, Carli de Murga.

Harimau Malaya kemudian berjaya memperoleh gol kedua pada minit ke-24 menerusi satu serangan balas yang dimulakan oleh Safiq Rahim yang menghantar bola jauh kepada Syafiq yang kemudiannya melorongkan bola untuk disudahkan dengan baik oleh Akhyar yang berjaya menewaskan Etheridge buat kali kedua.

Biarpun kedua-dua pasukan saling melakukan serangan dan percubaan di sepanjang separuh masa kedua, tiada tambahan gol berjaya dihasilkan untuk kedudukan 2-0 itu kekal sehingga wisel penamat.

Skuad Harimau Malaya, ranking 154 dunia seterusnya akan bertemu pasukan tuan rumah, Singapura, ranking 161 dunia bagi perlawanan kedua FAS Tri-Nations Series 2022 pada Sabtu, 26 Mac 2022 manakala Filipina kendalian Ernest Nierras pula akan berdepan Singapura pada 29 Mac 2022.

 

MALAYSIA: 1. Farizal Marlias (PG) (K), 2. Dion Cools, 3. Shahrul Saad, 8. Safiq Rahim (10. Liridon Krasniqi 57'), 12. Arif Aiman Hanapi (5. Quentin Cheng 81'), 14. Syamer Kutty Abba, 15. Kogileswaran Raj (29. Nor Azam Azih 71'), 19. Akhyar Rashid (13. Mohamadou Sumareh 57'), 20. Syafiq Ahmad (11. Safawi Rasid 71'), 22. La'Vere Corbin-Ong, 28. Ahmad Khuzaimi Piee (7. Aidil Zafuan Abd Radzak 57').

FILIPINA: 1. Neil Etheridge (PG), 5. Carli de Murga (2. Justin Baas 52'), 6. Kevin Ingreso (11. OJ Porteria 79'), 7. Iain Ramsay (13. Dennis Villanueva 79'), 8. Manny Ott (14. Harry Foll 79'), 9. Bienvenido Maranon (23. Mark Hartmann 59'), 17. Stephan Schrock (K), 19. Kike Linares (12. Amani Aguinaldo 46'), 22. Diego Bardanca, 24. John-Patrick Strauss, 29. Patrick Reichelt.

Pengadil: Muhammad Taqi Aljaafari Jahari (Singapura)