HAMIDIN YAKIN SKUAD BERNHARDT MAMPU JUARA

2016-06-04

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato' Haji Hamidin Haji Mohd Amin mengucapkan tahniah kepada skuad Harimau Malaysia B-21 yang  berjaya melangkah ke final kejohanan Nations Cup 2016 bertemu Thailand B-21, esok (5 Jun 2016).

Kejayaan tersebut dilakar skuad kendalian ketua jurulatih, Frank Bernhardt setelah menundukkan pasukan Singapura B-21 3-0 di Stadium Hang Jebat, Melaka malam tadi menerusi jaringan Muhammad Safawi Rasid (m-4), Muhammad Syafiq Ahmad (m-52) dan Nur Shamie Iszuan Amin (m-83).

“Tahniah diucapkan kepada Frank Bernhardt, barisan kejurulatihannya dan juga para pemain yang beraksi dengan baik pada perlawanan menentang Singapura, semalam.

“Kejohanan Nations Cup 2016 merupakan platform yang baik bagi kita untuk mempersiapkan pasukan menjelang temasya Sukan SEA tahun depan. Saya berharap kita dapat menggunakan sepenuhnya peluang ini,” kata Hamidin kepada www.fam.org.my hari ini.

Hamidin turut berharap penyokong bolasepak tanah air dari seluruh pelusuk negara dapat hadir beramai-ramai ke Stadium Hang Jebat, Melaka bagi memberikan sokongan padu kepada skuad muda negara yang bakal berdepan pasukan bimbingan Worrawoot Srimaka, esok.

“Kita akan berdepan dengan salah satu pasukan gergasi Asia Tenggara dan saya percaya, berbekalkan sokongan tidak berbelah bahagi peminat bolasepak negara, kita mampu mempamerkan persembahan yang lebih baik lagi untuk memenangi kejohanan ini,” tegas Hamidin.

Tiket-tiket berharga RM20 (grandstand), RM10 (tempat duduk biasa) dan RM5 (kanak-kanak) dijual di kaunter tiket di Stadium Hang Jebat, Melaka sehingga perlawanan bermula pada jam 10.00 malam.

FOTO KREDIT: HASRIYASYAH SABUDIN / NSTP