Harimau Muda C atasi FK Slovan Levice B19 3-1

Skuad Harimau Muda C kendalian jurulatih Hassan Sazali Mohd Waras mencatat kemenangan sulung pada aksi kedua siri perlawanan di Slovakia dengan menundukkan FK Slovan Levice B-19, 3-1 di Stadium FC Vion, Zlate Moravce, malam tadi.

Pasukan B-19 negara menjaringkan gol pendahuluan melalui Mohd Syamer sebelum pasukan tuan rumah menyamakan kedudukan pada minit-minit akhir separuh masa pertama.

Hassan Sazali membuat tiga pertukaran pada separuh masa kedua dan menyaksikan Mohd Shahrul menambah jaringan pada minit ke-56 sebelum Mohd Rizalul mengesahkan kemenangan selesa skuad muda negara pada minit ke-89 ke atas pasukan yang menduduki tempat kelima Liga Divisyen II Slovakia itu.

Malaysia sebelum ini, tewas 2-0 dalam aksi pembukaan menentang FC Horna Nitra B-19 bakal menentang pasukan Spartak Myjava B-19 Selasa depan (16 Jun).

KOMEN JURULATIH HARIMAU MUDA C, HASSAN SAZALI MOHD WARAS

“Dalam perlawanan kedua ini, saya ada membuat rombakan sedikit terhadap kesebelasan utama dari perlawanan pertama.

“Saya lihat pemain-pemain mula dapat menyesuaikan diri dengan cuaca di sini dan juga tekanan dari permainan pihak lawan yang berfizikal lebih besar. Mereka juga berjaya mengikuti arahan taktikal permainan yang telah dirancangkan.

“Setakat ini, tidak ada pemain yang mengalami kecederaan serius kecuali Najmuddin Samat yang mengalami kecederaan ligamen medial kolateral (MCL) dan medial meniskus sewaktu menjalani latihan.”

J Category: 
uncategorised8