Harimau Muda C menang selesa 3-0 ke atas Spartak Myjava B19

Skuad Harimau Muda C kendalian jurulatih Hassan Sazali Mohd Waras meneruskan rentak cemerlang dengan kemenangan 3-0 ke atas pasukan Spartak Myjava B-19 pada aksi ketiga siri perlawanan di Slovakia yang berlangsung di Stadium Myjava, malam tadi.

Penyerang Muhammad Jafri Firdaus Chew yang baru saja menyambut hari kelahirannya yang ke-18 Khamis lepas, muncul wira dengan dua gol pada minit ke-5 dan minit ke-51 sebelum Danial Ashraf Abdullah melengkapkan kemenangan bergaya pasukan B-19 negara dengan menjaringkan gol ketiga pada minit ke-81.

Skuad Harimau Muda C yang telah mencatatkan dua kemenangan dan satu kekalahan daripada tiga aksi perlawananan, bakal menentang pasukan FKM Karlova Ves B-19, Sabtu ini (20 Jun).

KOMEN JURULATIH HARIMAU MUDA C, HASSAN SAZALI MOHD WARAS

“Pada perlawanan semalam menentang Spartak Myjaya yang menduduki tangga ketiga dalam liga mereka, pasukan saya telah berjaya mengatasi dengan tiga jaringan tanpa balas.

“Ini menunjukan satu perkara yang positif daripada pemain-pemain yang mana mereka mampu untuk bersaing dengan pasukan yang mempunyai kelebihan fizikal serta mempunyai kefahaman taktikal yang tinggi berbanding pihak lawan.

“Dengan struktur padang yang bagus di pentas perlawanan dan pusat  latihan, pemain-pemain berjaya menyempurnakan aspek teknik dan juga taktikal yang ingin disampaikan kepada mereka.

”Saya juga telah membahagikan pasukan saya kepada dua kumpulan untuk menghadapi perlawanan-perlawanan yang dijadualkan selepas ini di mana dalam seminggu kita akan menghadapi tiga perlawanan.

“Untuk perlawanan berikutnya, pasukan akan menentang FKM Karlova Ves pada hari Sabtu ini (20 Jun) dan saya akan menurunkan pemain-pemain yang tidak tersenarai pada perlawanan semalam.

“Najmuddin Samat telah disahkan mengalami kecederaan ligament lutut (ACL) dan kecederaan medial miniscus hasil dari pemeriksaan MRI, setelah mendapat pengesahan dari Dr Zaidi Salleh. Beliau perlu melakukan pembedahan dan rawatan di Malaysia.  Najmuddin berserta seorang kakitangan dari sini, Cikgu Sham akan pulang ke Malaysia pada 26 Jun ini.”

J Category: 
uncategorised8