Harimau Muda sahkan tempat di final

Harimau Muda mempamerkan permainan bermutu tinggi apabila menewaskn Thailand 3-0 dalam perlawanan peringkat kumpulan Pestabola Merdeka di Kuantan, Rabu (11 Sept).

Kira-kira 5,000 penonton menyaksikan perlawanan yang berlangsung di Stadium Darulmakmur itu.

Malaysia akan bertemu Myanmar pada perlawanan akhir. Myanmar menewaskan Singapura 2-0 dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung di Stadium Temerloh.

Penjaring terbanyak pusingan kelayakan Piala AFC Bawah 22 tahun, Rozaimi Abdul Rahman menjaringkan dua jaringan pada minit ke-27 dan 80 dengan gol pertama Malaysia disumbangkan Mohd. Nasir Basharuddin pada minit ke-11.

Harimau Muda mudah merobek gawang Thailand pada minit ke-11 lagi melalui rembatan leret pemain tengah Perak, Nasir Basharuddin dari dalam kotak penalti.

 

Melalui sepakan percuma yang diambil oleh pemain FC Ryukyu, Nazirul Naim dari sebelah kiri, penjaga gol Thailand, Abeefaesan Ya sekadar menumbuk lemah sebelum bola sampai di kaki Nasir yang melepaskan rembatan leret bagi gol pembukaan Malaysia.

Kehilangan ketua pasukan, Mahamasabri Awaebuesa di bahagian pertahanan jelas amat dirasai oleh Thailand apabila 16 minit kemudian, gawang skuad Gajah Putih bocor lagi, kali ini giliran pemain yang berasal dari Sabah, Rozaimi.

Tindakan bijak Sivanesan yang melepasi perangkap ofsaid di sebelah kanan memberikan ruang kepada Rozaimi yang berlari pantas ke dalam kotak penalti tanpa dikawal oleh mana-mana pemain sebelum memperdayakan Abeefaesan dan menolak masuk bagi jaringan kedua tuan rumah.

Rozaimi terus mengganas lagi pada minit ke-80 hasil gerakan skil individu yang menarik dengan mengatasi tiga pertahanan lawan dan menjaringkan gol yang cantik menerusi rembatan kencang di luar kotak penalti.

Kim Swee mengakui kemenangan yang dicapai oleh Harimau Muda hari ini ekoran sikap positif yang dipamerkan oleh barisan pemain mudanya di samping keletihan pihak lawan yang menggunakan sebahagian besar pemain yang sama pada tiga perlawanan dalam tempoh enam hari.

''Kemenangan itu membuktikan sesiapa sahaja dalam pasukan ini boleh berada dalam kesebelasan utama dan situasi itu pasti akan terus membuatkan saya pening kepala memilih siapa yang akan digunakan pada aksi akhir nanti," katanya.

Jadual Perlawanan (14 September 2013, Sabtu)

3rd and 4th Place (Thailand vs Singapore) 5.30PM - Std Darul Makmur

FINAL (Malaysia vs Myanmar) 8.45PM - Std Darul Makmur

 

J Category: 
uncategorised8