JANGAN UGUT FAM, GUNA KEBAJIKAN PEMAIN SEBAGAI UMPAN UNTUK BERAKSI DI LIGA PREMIER 2019

2019-01-23

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini ingin membidas kenyataan yang telah dibuat oleh Pengurus Terengganu City FC (TCFC), M Rezal Abu Bakar menerusi media berhubung isu tunggakan gaji pemain-pemain kelab berkenaan yang sehingga kini telah pun mencecah jumlah RM977,100.

M Rezal menerusi kenyataannya dalam laporan media yang disiarkan pada 21 dan 22 Januari 2019 menyebut bahawa TCFC akan menjelaskan semua hutang (tunggakan gaji) hanya jika FAM membenarkan mereka beraksi di Liga Premier 2019 dengan alasan kelab berkenaan layak secara merit selepas muncul juara Piala FAM 2018 pada 6 September 2018.

Bagaimanapun, berdasarkan rekod-rekod sebelum ini, TCFC telah beberapa kali mungkir janji untuk menjelaskan tunggakan gaji para pemain dan pegawainya biarpun ia sudah tercatat secara hitam putih.

Bagi menjelaskan isu ini, berikut diperincikan kronologi kes yang membabitkan TCFC ini:

  1. Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) pada 28 Ogos 2018 telah menghantar surat kepada FAM memaklumkan penarikan balik lesen Persatuan Bolasepak Daerah Kuala Nerus terhadap TCFC bagi pertandingan Piala FAM 2018 berikutan masalah berlarutan TCFC gagal membayar gaji pemain dan pegawai pasukan, tiga hari menjelang perlawanan separuh akhir kedua Piala FAM 2018 bertemu MOF FC.

 

  1. FAM kemudian telah memanggil wakil daripada PBSNT dan TCFC bagi membincangkan hal berkenaan dan pada 30 Ogos 2018, FAM menerusi budi bicara telah membuat keputusan menangguhkan penarikan balik lesen berkenaan dan membenarkan TCFC terus beraksi pada separuh akhir kedua Piala FAM 2018 itu dan seterusnya final, namun dengan syarat Aku Janji yang telah ditetapkan.

 

  1. Surat daripada FAM kepada TCFC bertarikh 30 Ogos 2018 bertajuk 'Aku Janji Bertanggungjawab Terhadap Kos Perbelanjaan Dan Tunggakan Yang Ditanggung Oleh Kelab Bolasepak Terengganu City' menyatakan bahawa TCFC telah disyaratkan untuk memberi Aku Janji kepada FAM bahawa kelab tersebut bertanggungjawab sepenuhnya untuk membayar semua hutang yang ditanggung TCFC serta akan menghormati dan mematuhi setiap keputusan yang dibuat atau akan dibuat oleh Jawatankuasa Status FAM dan/atau Kamar Penyelesaian Pertelingkahan Kebangsaan FAM (NDRC FAM) berkaitan dengan tunggakan gaji dan pembayaran pampasan kepada bekas pemain mereka.

 

  1. Surat berkenaan disertakan dengan Aku Janji tersebut yang ditandatangani oleh Ahli Jawatankuasa Eksekutif TCFC dan Setiausaha TCFC sebagai bukti persetujuan.

 

  1. Turut dilampirkan bersama surat berkenaan ialah surat jaminan daripada pihak penaja TCFC iaitu Tulangis Maju kepada Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Nerus pada 23 Januari 2018 menyatakan ucapan terima kasih kerana kelulusan dan kebenaran menggunakan lesen persatuan itu bagi saingan Piala FAM 2018 dan turut memaklumkan bahawa segala perbelanjaan dan kos-kos berkaitan TCFC sepanjang tahun 2018 akan ditanggung sepenuhnya oleh Tulangis Maju.

 

  1. Selepas selesai Final Piala FAM 2018, TCFC bertemu Selangor United pada 6 September 2018 yang mana TCFC berjaya muncul juara, FAM pada 12 September 2018 telah menghantar surat kepada TCFC untuk kelab berkenaan segera menyelesaikan masalah tunggakan gaji selewat-lewatnya pada 29 September 2018.

 

  1. Surat berkenaan turut menyatakan bahawa semua hadiah wang tunai selaku juara, wang insentif peringkat kumpulan dan deposit penyertaan berjumlah RM355,000 yang dimiliki TCFC dengan sendirinya akan dibekukan sehingga semua hutang telah dijelaskan oleh TCFC pada tarikh yang telah ditetapkan itu.

 

  1. Bagaimanapun selepas Aku Janji dibuat dan tarikh pembayaran juga ditetapkan, TCFC tetap berdegil untuk membuat pembayaran tersebut, malah turut dilaporkan bertindak memberikan cek tendang dan mengugut pemain serta pegawai pasukan dalam hal penyelesaian tunggakan gaji itu.

 

  1. Pada 20 November 2018, wakil TCFC telah menghubungi FAM untuk mengadakan perjumpaan secara kasual bagi mendapatkan maklumat berhubung kes-kes tunggakan gaji membabitkan pasukan itu. Dengan niat untuk membantu TCFC, FAM bersetuju untuk mengadakan perjumpaan tersebut pada 21 November 2018 di Wisma FAM, Kelana Jaya.

 

  1. Namun FAM mengambil keputusan membatalkan perjumpaan itu selepas mendapat tahu menerusi media sosial bahawa pihak TCFC turut ingin mengadakan perjumpaan dengan pemain dan pegawai pasukan mereka di Wisma FAM pada hari yang sama dengan juga menjemput kehadiran media. Pembatalan itu dibuat kerana FAM tidak mahu berlakunya konfrontasi yang tidak diingini di antara mereka di Wisma FAM.

 

  1. Pada 22 November 2018, FAM telah menghantar surat kepada TCFC mengingatkan mereka bahawa semua komunikasi dengan FAM perlu dihantar salinan kepada PBSNT untuk perhatian mereka.

 

  1. Pada 25 November 2018, TCFC telah menghantar surat kepada FAM memohon secara rasmi untuk mengadakan perjumpaan dan pada 28 November 2018, FAM membalas surat berkenaan dengan menetapkan tarikh perjumpaan tersebut pada 5 Disember 2018.

 

  1. Namun pada 4 Disember 2018, TCFC sendiri telah menghantar e-mel kepada FAM untuk membatalkan perjumpaan tersebut.

 

  1. Pada 13 Disember 2018, FAM telah menerima surat rayuan daripada TCFC untuk membenarkan mereka beraksi pada Liga Premier 2019 tetapi FAM membalas bahawa tiada apa-apa lagi perbincangan berhubung isu ke Liga Premier 2019 dan TCFC diminta menyelesaikan hutang mereka sebelum atau pada 19 Februari 2019.

 

  1. Selepas agak lama menyepi, tiba-tiba minggu ini, TCFC mengugut pula FAM dengan membuat syarat mereka sendiri iaitu jika FAM beri TCFC kebenaran bermain di Liga Premier 2019, barulah mereka akan membayar segala hutang dan tunggakan gaji tersebut.

 

  1. Justeru, FAM dengan ini tetap berpendirian untuk tidak membenarkan TCFC beraksi di Liga Premier 2019 kerana sudah tentu wujud kebimbangan masalah tunggakan gaji yang sama akan berulang berdasarkan rekod janji-janji yang telah dibuat oleh TCFC sebelum ini.

 

  1. Oleh itu, dengan mengambil kira bebanan kewangan yang ditanggung oleh bekas pemain dan pegawai pasukan TCFC dan jikalau pada 19 Februari 2019 TCFC masih belum menjelaskan tunggakan gaji dan wang pampasan, FAM akan menggunakan hadiah wang tunai selaku juara, wang insentif peringkat kumpulan dan wang deposit penyertaan TCFC yang dibekukan sebelum ini untuk menyelesaikan sebahagian hutang TCFC.

 

  1. Berdasarkan perkiraan yang dibuat, seramai 23 orang pemain dan pegawai akan mendapat wang tunggakan gaji berkenaan secara pro rata yang akan dibayar oleh FAM terus kepada pemain dan pegawai terbabit.

 

  1. Namun begitu, TCFC tidak boleh terus bersikap lepas tangan dan masih tetap perlu menjelaskan baki hutang yang ada kepada pemain dan pegawai tersebut, jika mereka tidak mahu menerima implikasi yang lebih besar selepas ini.

 

  1. Perlu diingatkan, apabila PBSNT dan Persatuan Bolasepak Daerah Kuala Nerus menarik balik lesen kebenaran terhadap TCFC itu, maka FAM secara tidak langsung tidak lagi mengiktiraf TCFC sebagai sebuah kelab yang diberikan kebenaran untuk bertanding.

 

Akhir kata, diharap pihak TCFC tidak terus menuding jari kepada pihak lain dan menetapkan pula syarat yang perlu dituruti FAM, sebaliknya mereka perlu mengambil sikap bertanggungjawab sepenuhnya untuk menyelesaikan baki hutang sedia ada itu mengikut tarikh yang telah ditetapkan iaitu sebelum atau pada 19 Februari 2019.

Tiada siapa yang perlu disalahkan dalam hal ini selain daripada TCFC kerana jika mereka berusaha menyelesaikan tunggakan hutang yang ada ketika itu sebelum atau pada 29 September 2018, sudah tentu TCFC sudah boleh beraksi pada Liga Premier 2019.

Jangan cuba untuk mengugut FAM kerana dalam hal ini, TCFC adalah pihak yang perlu bertanggungjawab ke atas apa semua yang berlaku ini. TCFC jelas tidak ikhlas untuk menyelesaikan hutang terhadap pemain dan pegawai mereka, sebaliknya hanya menggunakan isu kebajikan pemain ini sebagai umpan untuk dapat beraksi di Liga Premier 2019.

 

Stuart Ramalingam

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)