JAWATANKUASA EKSEKUTIF FAM TOLAK HASRAT TENGKU ABDULLAH LETAK JAWATAN

2016-02-29

Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang bermesyuarat buat kali ketujuh bagi penggal 2014-2018 pada hari ini telah membuat keputusan untuk menolak hasrat Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meletak jawatan selaku Presiden FAM.

 Timbalan Presiden FAM, Dato’ Sri Afandi Hamzah berkata, ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM berasakan yang mereka masih memerlukan Tengku Abdullah untuk memimpin badan induk bola sepak Malaysia itu.

 “Selepas berbincang tadi, kami sebulat suara menyatakan yang kami menolak hasrat Tengku Abdullah untuk meletak jawatan. Kami berasakan yang kami masih memerlukan kepimpinan baginda. Jadi kami berharap agar baginda terus kekal memimpin FAM.

 “Pada masa sama, Jawatankuasa Eksekutif FAM akan menghadap Tengku Abdullah untuk menyampaikan keputusan yang telah dibuat itu,” kata Afandi pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

 Ditanya apakah tindakan Jawatankuasa Eksekutif FAM andai Tengku Abdullah tetap enggan mengubah pendiriannya untuk meletak jawatan, Afandi berkata: “Jika itu berlaku, kami akan melihat keadaan semasa. Buat masa ini, inilah keputusan yang dicapai. Jika sebaliknya, kami akan fikirkan apa tindakan selanjutnya.”

 Selain itu, beberapa lagi perkara turut dibincangkan pada mesyuarat berkenaan, antaranya:

* Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM, Dato’ S Sivasundaram dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM yang baharu menggantikan Dato’ Goh Ah Chai yang telah meninggal dunia pada 18 Februari lalu.

* Permohonan ketua jurulatih skuad Projek Sukan SEA 2017, Frank Bernhardt untuk melantik seorang jurulatih asing sebagai pembantunya akan dibawa ke Jawatankuasa Kerja FAM, MSN dan KBS untuk tindakan lanjut.

* FAM secara rasmi telah memohon untuk menjadi tuan rumah Piala Suzuki AFF 2016 menggantikan Filipina yang menarik diri. Selain Malaysia, turut menawarkan diri ialah Vietnam dan Singapura, tuan rumah bersama Piala Suzuki AFF 2014. Keputusan akan dibuat pada mesyuarat AFF di Vietnam, awal Mac ini.

* Kongres FAM akan berlangsung pada September 2016. Beberapa pindaan kepada Statut FAM akan dibuat berdasarkan peraturan terkini FIFA dan AFC. Selain itu, mesyuarat turut bersetuju supaya Statut FAM dan Kod Tatatertib FAM diletakkan di laman web rasmi FAM.