JDT, Pahang ke suku akhir TM Piala Malaysia 2015

Juara bertahan, Pahang muncul pasukan ketiga berjaya mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir TM Piala Malaysia 2015 selepas menewaskan PDRM 3-0 pada perlawanan kelima Kumpulan D di Stadium Shah Alam, malam tadi.
 
 PKNS FC pula semakin hampir untuk mengiringi Pahang dari Kumpulan D selepas mengikat Pulau Pinang 1-1 di Stadium Selayang.
 
 Berbaki satu lagi perlawanan, saingan Kumpulan D menyaksikan Pahang di tangga teratas dengan 9 mata diikuti PKNS FC (8), Pulau Pinang (5) dan PDRM (5).
 
 Pada satu lagi perlawanan malam tadi, Terengganu menghidupkan semula peluang ke suku akhir dari Kumpulan A selepas menewaskan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) 2-1 di Stadium Pasir Gudang.
 
 Selepas lima perlawanan, Kumpulan A masih didahului Lions XII dengan 10 mata diikuti Kedah (7), Terengganu (7) dan JDT II (4).
 
 Terdahulu, finalis musim lalu, Johor Darul Ta'zim (JDT) menjadi pasukan kedua layak ke suku akhir selepas Selangor apabila meraih kemenangan keempat berturut dalam Kumpulan B dengan menewaskan Sarawak 3-0 di Stadium Negeri, Kuching, Sabtu lalu.
 
 Berbaki dua lagi perlawanan, Kumpulan B menyaksikan JDT di tangga teratas dengan 12 mata diikuti Sarawak (6), ATM (3) dan Perak (3).
 
 Perlawanan seterusnya bagi saingan peringkat kumpulan TM Piala Malaysia 2015 akan berlangsung pada 4 dan 5 November ini diikuti perlawanan terakhir bagi Kumpulan B pada 21 November sebelum bermulanya saingan suku akhir.
 
 
KEPUTUSAN:
 
Kumpulan A
 
JDT II 1
Shahril Ishak m-34
TERENGGANU 2
Issey Nakajima-Farran m-8,
Ismail Faruqi Ashari m-87
 
Kumpulan B
 
SARAWAK 0
JDT 3
Safee Sali m-14 (p),
Hariss Harun m-79,
Safiq Rahim m-88
 
Kumpulan D
 
PDRM 0
PAHANG 3
Dickson Nwakaeme m-28,
Matias Conti m-30 & m-82
 
PKNS FC 1
Alif Haikal m-43
PULAU PINANG 1
Lee Gil-Hoon m-16
J Category: 
article/latest-news