KEJOHANAN PEMBANGUNAN BOLA SEPAK WANITA 2017: MALAYSIA 2-1 BANGLADESH

 Skuad wanita Harimau Malaysia memulakan kempen Kejohanan Pembangunan Bola Sepak Wanita Singapura 2017 dengan langkah kanan setelah menumpaskan Bangladesh 2-1 di Stadium Jalan Besar, malam tadi.

 Penjaga gol cilik berusia 17 tahun, Nurul Azurin Mazlan muncul wira pasukan setelah menyelamatkan sepakan penalti dan beberapa percubaan bahaya Bangladesh.

 Pasukan kendalian Asyraaf Abdullah terlebih dahulu menguji gol lawan menerusi percubaan jarak jauh pemain perancang muda berusia 16 tahun, Nor Athirah Mamat yang berjaya diselamatkan Rowshan Ara pada minit ke-28.

 Serangan bertali arus skuad kebangsaan membuahkan hasil apabila pemain tengah, Haindee Mosroh menyudahkan hantaran pemain sayap kiri, Dadree Rofinus pada minit ke-45 untuk kedudukan separuh masa pertama berakhir 1-0.

 Bersambung babak kedua, giliran Bangladesh bimbingan Golam Choton melancarkan serangan ke arah pintu gawang Malaysia.

 Bagaimanapun, kecemerlangan Nurul Azurin yang berjaya membaca dengan tepat tendangan penalti serta situasi satu lawan satu dengan Sabina Khatun pada minit ke-72 dan minit ke-88 membolehkan Malaysia kekal di hadapan.

 Selang dua minit kemudian, Nor Athirah merembat kencang dari luar kotak penalti untuk menggandakan jaringan Harimau Malaysia. Gol tersebut juga merupakan gol pertama buat pemain tengah itu pada penampilan sulungnya bersama pasukan kebangsaan.

 Penyerang, Sirat Shopna menjaringkan gol sagu hati Bangladesh pada masa tambahan untuk keputusan penuh 2-1.

 Malaysia akan beraksi pada perlawanan terakhir menentang tuan rumah, Singapura yang terlebih dahulu menewaskan Bangladesh 3-0 pada aksi pembukaan di venue yang sama, semalam (16 Februari 2017).

KOMEN KETUA JURULATIH SKUAD WANITA HARIMAU MALAYSIA, ASYRAAF ABDULLAH

 “Perlawanan tadi merupakan perlawanan yang bagus untuk kita kerana tujuan utama kejohanan ini adalah pembangunan. Ia adalah platform yang baik untuk kita membina pasukan yang kuat.

 “Walaupun kita hanya menang 2-1, saya berpuas hati dengan keputusan malam ini kerana ia bekalan positif untuk kita bawa dan berjuang habis-habisan bagi perlawanan esok.

 “Bagi saya, pasukan Bangladesh dan pasukan kita adalah sama kerana kedua-duanya menurunkan barisan pemain-pemain muda. Kita mempunyai Athirah Mamat (16 tahun) Azurin (17 tahun) dan Athirah Farhanah (18 tahun) di kesebelasan utama.

“Kita sudah menyaksikan Singapura menang 3-0 semalam. Semestinya mereka adalah pasukan yang kuat. Kita menantikan perlawanan yang penuh dengan penonton tuan rumah esok.

“Tempoh 24 jam tidak mencukupi untuk pemain mendapatkan rehat secukupnya. Saya akan membariskan pemain-pemain baru esok.”