KEJUARAAN B-16 AFC 2016 FOKUS UTAMA SKUAD SOMASUNDRAM

2016-02-01

Skuad Bawah 16 Tahun (B-16) Malaysia kendalian jurulatih P Somasundram memulakan latihan sejak 7 Januari lalu sebagai persediaan awal menghadapi pusingan akhir Kejuaraan B-16 AFC 2016 di New Delhi, India, September ini.

 Sebagai mempersiapkan pasukan ke arah kejohanan berkenaan, skuad B-16 negara terdahulu akan beraksi pada Kejuaraan B-16 AFF 2016, Ogos ini yang menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah.

 Namun sebagai pendedahan awal, skuad Somasundram itu akan mengguna pakai nama skuad Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B-16 untuk beraksi pada saingan Piala Belia 2016 bermula 28 Februari ini.

 "Setakat ini, kami sudah mendaftar seramai 23 pemain terdiri daripada mereka yang beraksi pada Pusingan Kelayakan Kejuaraan B-16 AFC 2016 di Laos, September lalu.

 "Seramai 12 pemain adalah pelajar asal SSMP ini manakala baki 11 pemain adalah bekas pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Bandar Penawar tahun lalu.

 "Jadi untuk 2016, kami gabungkan kesemua 23 pemain ini bersekolah di SSMP untuk menjadi pasukan terkuat menghadapi Piala Belia, Kejuaraan AFF dan Kejuaraan AFC serta memudahkan pergerakan pasukan terutama dalam menjalani latihan dan mengharungi perlawanan.

 "Tapi saya masih membuat pemantauan pemain bagi menambah kira-kira 10 lagi pemain baharu bagi melengkapkan skuad seramai 32 orang untuk saya mendapatkan barisan terbaik bagi Kejuaraan AFC nanti," kata Somasundram kepada www.fam.org.my.

 Ditanya sasaran pasukan SSMP B-16 untuk saingan Piala Belia 2016, Somasundram berkata: "Kita kena tahu yang Piala Belia ini adalah kejohanan B-19 kebangsaan dan pemain-pemain saya pula baru berusia 16 tahun.

 "Jadi sasaran saya untuk Piala Belia ini hanyalah sebagai pendedahan kerana saya mahu 32 pemain ini sudah bersedia apabila beraksi pada perlawanan antarabangsa nanti.

 "Dengan menyertai Piala Belia ini, kami akan mendapat perlawanan kompetitif berdepan pasukan lawan dibarisi pemain lebih umur dan pemain kami boleh menjadi lebih matang dan berkeyakinan."

 Namun Somasundram tetap mengharapkan program perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu pasukan seperti skuad B-16 Thailand, Vietnam dan Jepun dapat diadakan sebelum mereka ke Kejuaraan B-16 AFC itu.

 "Tiga pasukan ini semuanya layak ke Kejuaraan AFC. Jadi ia bagus untuk kami menilai tahap dan kemampuan para pemain.

 "Selain itu, saya turut mencadangkan supaya skuad ini dapat ke New Delhi lebih awal sebelum kejohanan untuk membolehkan para pemain menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran, cuaca dan pemakanan," jelasnya.

 Somasundram, 50, kini dibantu penolong jurulatih, Kok Keng Lin, 47, dengan latihan harian mereka diadakan di SSMP, Gambang, Pahang.

 

SENARAI PEMAIN SSMP B-16

1 MUHAMMAD FAIQ SYAHMI BIN SAIFUL BAHARI
2 ARHAMKHUSSYAIRI BIN ABD WAHAD
3 MUHAMMAD FARIS BIN MOHD ZABRI
4 AIDIL MIRZA DARWISY BIN MAZHISAM
5 ZAINUL ARIFIN BIN AHMAD LATIFI
6 XSEVIER XCICO FELEX
7 HARZAN HAFIZ HAZLIZANIZAN BIN AHWAL
8 MUHAMMAD ALIF SAFWAN BIN SALLAHUDDIN
9 AMIRULFAZLY BIN MOHD ZAMRI
10 ARIF SHAQIRIN BIN SUHAIMI
11 ALIFF HAIQAL BIN LOKMAN HAKIM LAU
12 MUHAMMAD NIZARRUDDIN BIN JAZI
13 MUHAMMAD HAFIKRI BIN ABDULLAH
14 MUHAMAD AIMAN BIN MOHD ZAIDI
15 MUHAMAD IQBAL HAKEM BIN MOHD HATTA
16 MUHAMMAD NAJMI IDHAM BIN JOHAN
17 MUHAMMAD IZREEN BIN IZWANDY
18 MUHAMMAD RAFIQ BIN KAMARUDDIN
19 MUHAMMAD FEROZ BIN BAHARUDDIN
20 ABDUL HADI BIN HASBOLLAH
21 AZRIN ADUKA BIN AZAHARI
22 MUHAMMAD A'SIF BIN MASZARRY
23 NORAMIRUL BIN AWANG