KEJUARAAN FUTSAL AFC 2016: AUSTRALIA 2-1 MALAYSIA

2016-02-12

Skuad futsal kebangsaan kendalian jurulatih Marcelo Serpa memulakan kempen Kejuaraan Futsal AFC 2016 di Tashkent, Uzbekistan dengan kekalahan tipis kepada Australia 2-1 pada aksi sulung Kumpulan D di Stadium Uzbekistan, Tashkent.

Malaysia mendominasi permainan pada separuh masa pertama dengan penjaga gol Australia yang berusia 37 tahun, Angelo Konstantinou menyelamatkan beberapa percubaan sebelum Khairul Effendy memecah kebuntuan pada minit ke-19 untuk kedudukan 1-0.

Babak kedua, Australia bangkit untuk menjaringkan dua gol dalam masa dua minit menerusi Jarrod Basger pada minit ke-24 dan Gregory Giovenali pada minit ke-26. Pasukan naib juara Kejuaraan AFF 2015 itu terus bertahan untuk kedudukan muktamad 2-1.

Terdahulu pada satu lagi perlawanan Kumpulan D, Jepun berjaya menewaskan Qatar 1-0.

Perlawanan kedua diteruskan Sabtu ini (13 Februari 2016) dengan Malaysia akan bertemu Jepun pada jam 7.30 malam (waktu Malaysia) diikuti aksi Australia bertemu Qatar jam 10.00 malam.

KOMEN KETUA JURULATIH SKUAD FUTSAL KEBANGSAAN, MARCELO SERPA

“Saya bangga dengan barisan pemain-pemain yang telah berusaha bermati-matian dan bermain dengan begitu baik sekali menentang pasukan Australia yang muncul dalam edisi lepas Piala Dunia Futsal FIFA dan berada di tempat 23 ranking Futsal FIFA Dunia.

“Pasukan kita berhak untuk mendapat keputusan yang lebih baik pada perlawanan malam ini. Walaubagaimanapun, kita perlu beralih fokus untuk perlawanan seterusnya menentang Jepun dan membuat persiapan secukupnya.

“Saya percaya pemain-pemain mampu untuk beraksi dengan lebih baik lagi dan sekaligus membuktikan potensi futsal Malaysia.” 

 

Foto: AFC