KEJUARAAN FUTSAL AFC 2018: MALAYSIA DIUNDI BERSAMA CHINESE TAIPEI, VIETNAM & BAHRAIN DALAM KUMPULAN A

2017-12-12

Skuad futsal lelaki kebangsaan kendalian Chiew Chun Yong telah diundi berada dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Chinese Taipei, Vietnam dan Bahrain pada majlis undian Kejuaraan Futsal AFC 2018 yang berlangsung di Chinese Taipei, hari ini.

 Ia dilihat peluang terbaik Malaysia menduduki dua tempat teratas kumpulan untuk layak ke peringkat kalah mati iaitu suku akhir buat pertama kali dalam sejarah pada edisi ke-15 kali ini.

 Ini kerana, sepanjang penyertaan pada 11 daripada 14 edisi sebelum ini, kesemuanya Malaysia kandas seawal peringkat kumpulan termasuk ketika edisi sebelum ini di Uzbekistan pada 2016 apabila skuad kendalian Marcelo Serpa sekadar menghuni tangga keempat Kumpulan D tanpa sebarang mata selepas tewas kepada Australia 2-1, Jepun 11-1 dan Qatar 6-2.

 Bagi saingan di Chinese Taipei kali ini yang bakal membuka tirai pada 1 Februari depan, Malaysia yang kini di ranking ke-53 dunia dijadual bertemu Vietnam pada perlawanan pertama diikuti tuan rumah Chinese Taipei pada perlawanan kedua dan Bahrain pada perlawanan terakhir Kumpulan A.

 Chinese Taipei selaku tuan rumah, sama seperti Malaysia turut layak ke pusingan akhir buat kali ke-12 tetapi pencapaian terbaik mereka ialah berjaya mara ke suku akhir pada edisi 2003 dan kini di ranking ke-79 dunia.

 Vietnam pula biarpun baru layak buat kali kelima, namun berjaya mempamerkan prestasi baik pada dua edisi terakhir iaitu layak ke suku akhir pada 2014 dan layak ke separuh akhir pada 2016 (menduduki tempat keempat), kini di ranking ke-40 dunia.

 Sementara Bahrain, ranking ke-95 dunia ketika ini akan tampil buat kali kedua selepas kandas pada peringkat kumpulan ketika penyertaan tunggal mereka sebelum ini pada edisi 2002.

 Andai Malaysia berjaya melangkah ke suku akhir, lawan yang bakal ditemui adalah dari Kumpulan B iaitu naib juara empat kali termasuk pada edisi 2016, Uzbekistan; juara tiga kali, Jepun; pasukan yang layak ke suku akhir edisi 2007, Tajikistan atau naib juara edisi sulung 1999, Korea Selatan.

 Sementara itu, dua lagi kumpulan menyaksikan juara 11 kali yang juga bertahan, Iran diundi dalam Kumpulan C bersama Iraq, China dan pasukan yang layak pertama kali, Myanmar manakala Kumpulan D pula menampilkan jaguh Asia Tenggara yang juga naib juara dua kali pada 2008 dan 2012, Thailand diletakkan bersama Kyrgyzstan, Lebanon dan Jordan.

Final dijadual berlangsung pada 11 Februari 2018.

KREDIT GRAFIK: www.the-afc.com

 

 

JADUAL PERLAWANAN KEJUARAAN FUTSAL AFC 2018:

 

KUMPULAN A

 

1 FEBRUARI 2018

VIETNAM lwn MALAYSIA

(Xinzhuang Gymnasium, Taipei City)

 

3 FEBRUARI 2018

MALAYSIA lwn CHINESE TAIPEI

(Xinzhuang Gymnasium, Taipei City)

 

5 FEBRUARI 2018

MALAYSIA lwn BAHRAIN

(University of Taipei Gymnasium, Taipei City)

 

8 FEBRUARI 2018 - Suku Akhir

(Xinzhuang Gymnasium & University of Taipei Gymnasium, Taipei City)

 

9 FEBRUARI 2018 - Separuh Akhir

(Xinzhuang Gymnasium, Taipei City)

 

11 FEBRUARI 2018 - Final

(Xinzhuang Gymnasium, Taipei City)