KEJUARAAN FUTSAL AFF 2016: MALAYSIA 13-1 LAOS

2017-01-24

Skuad futsal kebangsaan, Harimau Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Kejuaraan Futsal AFF 2016 selepas garang membelasah Laos 13-1 pada perlawanan kedua Kumpulan B di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok, petang tadi.

 Selepas selesa mendahului 7-0 pada separuh masa pertama, skuad kendalian Chiew Chun Yong itu memulakan babak kedua dengan menambah dua lagi gol sebelum akhirnya dibolosi jaringan tunggal Laos menerusi Khampha Phiphakkhavong pada minit ke-29 untuk seketika kedudukan 9-1.

 Namun selepas itu, Harimau Malaysia berjaya menambah empat lagi gol untuk kemenangan 13-1.

 Gol-gol Harimau Malaysia adalah menerusi hatrik Ridzwan Bakri (m-7, m-9 & m-17), dua gol Akmarulnizam Idris  (m-1 & m-32), Khairul Effendy Bahrin (m-2 & m-23) dan Abu Haniffa Hassan (m-10 & m-16) serta masing-masing satu gol Azri Rahman (m-24), Syed Aizad Daniel Syed Nasir (m-29), Awaluddin Hassan (m-36) dan Awalludin Mat Nawi (m-40).

 Semalam, Harimau Malaysia memulakan kempen dengan bangkit daripada ketinggalan tiga gol pada babak pertama untuk menewaskan Indonesia 6-5.

 Sementara itu, satu lagi perlawanan yang berlangsung petang tadi menyaksikan Myanmar yang menewaskan Laos 6-1 semalam turut berjaya menempah tempat ke separuh akhir selepas mengejutkan Indonesia 6-3, sekali gus Indonesia dan Laos sah tersingkir.

 Bagi perlawanan terakhir Kumpulan B esok, Malaysia akan bertemu Myanmar untuk menentukan juara kumpulan pada jam 2.00 petang (3.00 petang waktu Malaysia) manakala aksi Indonesia bertemu Laos pada jam 4.30 petang (5.30 petang waktu Malaysia) sekadar pelengkap jadual.

 Biarpun Malaysia dan Myanmar kini terikat dengan enam mata, Malaysia memiliki kelebihan perbezaan gol yang lebih besar berbanding Myanmar untuk mendahului tangga teratas Kumpulan B selepas dua perlawanan.

 Kumpulan A pula menampilkan hanya tiga pasukan iaitu tuan rumah, Thailand, Timor-Leste dan Brunei.

 

 KREDIT FOTO: ASEAN FOOTBALL FEDERATION (AFF)

 

KOMEN KETUA JURULATIH FUTSAL MALAYSIA, CHIEW CHUN YONG:

"Saya rasa pemain kita pada hari ini telah melakukan tugas dengan baik. Biarpun Laos bukanlah pasukan yang agak kuat, tapi itu tidak bermakna yang kita boleh ambil mudah perlawanan ini.

 "Ini kerana, saya mahu pemain mencuba beberapa taktikal sebagai persediaan untuk berdepan Myanmar, esok. Mereka telah melakukannya dengan baik dari segi taktikal dan sistem permainan.

 "Bagi perlawanan bertemu Myanmar esok, kita akan hadapi dengan taktikal dan strategi yang sama. Tapi kita akan lihat dari semasa ke semasa ketika perlawanan, bagaimana corak permainan Myanmar nanti.

 "Sudah tentu dalam futsal, kita tidak akan main untuk memburu keputusan seri dan sudah tentu kami akan tetap bermain sehabis baik esok untuk memenangi perlawanan bagi mengekalkan momentum pasukan menjelang aksi separuh akhir.

 "Saya lihat Myanmar adalah pasukan yang sederhana tetapi sudah banyak meningkat. Cara permainan bertahan mereka cukup baik dan menggunakan taktik serangan balas. Cuma disiplin mereka bertahan itu yang sedikit membimbangkan dan kita perlu cari jalan untuk mengatasinya.

 "Sudah tentu bukan satu kejutan Myanmar dapat menewaskan Indonesia kerana saya dapat lihat yang moral pasukan Indonesia sama sekali menurun pada perlawanan hari ini selepas mereka tewas dengan Malaysia, semalam. Semuanya tidak menjadi dan nampak mereka seperti sudah hilang semangat."