KEJUARAAN FUTSAL AFF 2016: MALAYSIA 6-5 INDONESIA

2017-01-23

Skuad futsal kebangsaan, Harimau Malaysia bangkit daripada ketinggalan dua gol pada babak pertama untuk akhirnya berjaya menewaskan Indonesia 6-5 pada perlawanan sulung Kumpulan B, Kejuaraan Futsal AFF 2016 di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok, petang tadi.

 Tiga kali berjaya menyamakan kedudukan, skuad kendalian Chiew Chun Yong itu akhirnya beroleh gol kemenangan menerusi jaringan kedua peribadi pemain berusia 23 tahun berasal dari Sabah, Ridzwan Bakri pada minit ke-29.

 Terdahulu, Indonesia membuka tirai jaringan menerusi Andri Kustiawan hasil satu gerakan serangan balas pada minit ke-5 sebelum Abu Haniffa Hassan menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-7.

 Indonesia kendalian Andri Irawan kemudian beroleh dua gol selang seminit pada minit ke-10 dan ke-11 menerusi Randy Satria Mushar dan Syahidansyah Lubis untuk seketika selesa mendahului 3-1.

 Malaysia bangkit membalas dua gol pantas pada minit ke-14 menerusi Azwann Ismail dan Azri Rahman untuk kembali mengikat kedudukan 3-3.

 Pada minit ke-14 itu juga, Indonesia kembali mendahului 4-3 menerusi Ardy Dwi Suwardy dan jaringan kedua peribadi Ardy pada minit ke-19 membolehkan Indonesia menamatkan separuh masa pertama dengan kelebihan 5-3.

 Namun segalanya berubah pada babak kedua apabila Chun Yong menukar strategi permainan yang menyaksikan benteng pertahanan Malaysia tampak lebih kemas daripada dibocori dan pada masa sama, peluang tercipta berjaya diterjemahkan dengan jaringan.

 Ridzwan menjaringkan gol keempat Malaysia pada minit ke-26 disusuli gol penyamaan Akmarulnizam Idris pada minit ke-27 untuk seketika kedudukan terikat 5-5, sebelum jaringan kedua Ridzwan pada minit ke-29 memastikan tiga mata penuh milik Malaysia.

 Kemenangan itu juga cukup bermakna kerana Malaysia sebelum ini kalah semua lima pertemuan terakhir dengan Indonesia dalam kejohanan ini bermula dari edisi 2009.

 Kali terakhir Malaysia berjaya mencuri mata ketika bertemu Indonesia ialah pada edisi 2007 dengan keputusan seri 2-2 dan kali terakhir berjaya meraih kemenangan ialah pada edisi 2005 dengan jaringan 7-2.

 Sementara itu, pada satu lagi perlawanan Kumpulan B yang berlangsung selepas pertemuan Malaysia-Indonesia menyaksikan Myanmar berjaya menewaskan Laos 6-1.

 Seterusnya untuk perlawanan kedua esok, Indonesia akan bertemu Myanmar (3 petang waktu Malaysia) manakala Malaysia akan berdepan Laos (5.30 petang waktu Malaysia).

 

KREDIT FOTO: ASEAN FOOTBALL FEDERATION (AFF)

 

KOMEN KETUA JURULATIH FUTSAL MALAYSIA, CHIEW CHUN YONG:

"Seperti yang semua dapat lihat, ia satu perlawanan yang cukup sengit. Sudah tentu pada babak pertama kesemua lima gol Indonesia itu adalah menerusi serangan balas yang mana mereka menggunakan fizikal dan kepantasan.

 "Tapi pemain kita cuba sedaya upaya untuk bangkit dan mereka mengikut taktikal dan strategi dengan cukup baik terutama pada babak kedua apabila saya menukar strategi bagi menghalang serangan balas Indonesia dan ia berhasil.

 "Saya rasa sudah lebih 10 tahun Malaysia tak pernah menang dengan Indonesia. Jadi hari ini, para pemain wajar berasa bangga.

 "Tapi menang satu perlawanan ini bagi saya tidak akan memberi apa-apa makna jika kita tidak melakukan persiapan dengan baik untuk menghadapi Indonesia pada pertemuan akan datang kerana jika kita tidak bersedia, kita boleh kalah kerana Indonesia tetap pasukan yang kuat.

 "Apa pun kemenangan hari ini memberi kelebihan untuk kita menjuarai Kumpulan B ini tetapi sudah tentu kita tidak boleh ambil mudah baki dua perlawanan bertemu Laos dan Myanmar. Setiap perlawanan tetap penting."

 

VIDEO HIGHLIGHT PERLAWANAN: https://youtu.be/Irx9TfiranY