KELAYAKAN KEJUARAAN B-23 AFC 2018: INDONESIA 0-3 MALAYSIA

2017-07-19

Skuad B-22 kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee memulakan kempen Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2018 dengan langkah bergaya selepas mudah menewaskan Indonesia 3-0 pada perlawanan pertama Kumpulan H di Stadium Nasional Supachalasai, Bangkok, Thailand, petang tadi.

 Tiga jaringan pada babak pertama menerusi rangkaian penyerang - Syafiq Ahmad, Jafri Firdaus Chew dan N Thanabalan sudah cukup memberikan tiga mata penuh buat Malaysia mengatasi Indonesia yang menamatkan permainan dengan 10 pemain selepas Asnawi Bahar dibuang padang pada minit ke-69.

 Gol pertama Malaysia hadir seawal minit ketiga selepas hantaran jauh pemain pertahanan, Irfan Zakaria berjaya disudahkan dengan kemas oleh Syafiq untuk menewaskan penjaga gol Indonesia, Satria Tama.

 Pada minit ke-20, Malaysia menambah gol kedua selepas sepakan percuma Danial Amier Norhisham dari sebelah kiri berjaya ditanduk ke belakang oleh Jafri untuk bola terus menerjah ke gawang Indonesia.

 Malaysia terus selesa apabila memperoleh gol ketiga pada minit ke-30, kali ini menerusi tandukan Thanabalan ke gawang terbuka selepas bola sepakan penjuru diambil Syazwan Andik Ishak mengelirukan Satria dan barisan pertahanan Indonesia.

 Ketinggalan 3-0 pada babak pertama, jurulatih Indonesia, Luis Milla yang berasal dari Sepanyol bingkas melakukan dua pertukaran serentak sebaik separuh masa kedua bermula dalam usahanya merapatkan jurang gol.

 Pada minit ke-63, gawang Malaysia terselamat selepas Ifwat Akmal Chek Kassim cemerlang melayangkan badannya untuk menepis keluar rembatan deras Muhammad Hargianto dari luar kotak penalti.

 Malaysia hampir berjaya menambah jaringan pada minit ke-90 menerusi satu serangan balas pantas, namun percubaan penyerang gantian, Sean Eugene Selvaraj sekadar menggegar jaring kiri gawang Indonesia.

 Ifwat Akmal kemudian memastikan gawangnya tidak dibolosi untuk perlawanan ini apabila bertindak cemerlang menepis tandukan jarak dekat Septian David pada masa kecederaan.

 Sementara itu, satu lagi perlawanan Kumpulan H yang berlangsung di stadium sama selepas aksi Indonesia-Malaysia menyaksikan tuan rumah, Thailand gagal meraih mata penuh selepas diikat 1-1 oleh Mongolia.

 Skuad bimbingan Worrawoot Srimaka itu di hadapan seawal minit ke-17 menerusi jaringan Chaiyawat Buran sebelum Mongolia kendalian Michael Weiss menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti Tuguldur Munkh-Erdene pada minit ke-89.

 Perlawanan kedua Kumpulan H akan berlangsung pada Jumaat ini, 21 Julai dengan Mongolia bertemu Indonesia jam 4 petang (5 petang waktu Malaysia) dan Malaysia berdepan Thailand jam 7 malam (8 malam waktu Malaysia).

KREDIT FOTO: ASIANA.MY

 

INDONESIA: 1-Satria Tama; 2-Putu Gede, 3-Andy Setyo, 5-Bagas Adi (C), 15-Ricky Fajrin; 13-Febri Haryadi, 8-Muhammad Hargianto, 7-Gian Zola (6-Evan Dimas 46'), 10-Septian David; 21-Hanif Sjahbandi (14-Asnawi Bahar 46'), 9-Marinus Wanewar (22-Yabes Roni76').

MALAYSIA: 19-Ifwat Akmal Chek Kassim; 5-Adib Zainudin (C), 17-Irfan Zakaria, 9-Adam Nor Azlin; 23-Ariff Farhan Md Isa, 16-Danial Amier Norhisham, 7-Amirul Hisyam Awang Kechik (8-Danial Ashraf Abdullah 88'), 21-Syazwan Andik Ishak; 12-N Thanabalan, 11-Jafri Firdaus Chew (10-Akhyar Rashid 75'), 20-Syafiq Ahmad (15-Sean Eugene Selvaraj 60').

Referee: Jarred Gillett (Australia)

 

KOMEN KETUA JURULATIH MALAYSIA B-22, DATUK ONG KIM SWEE

"Sudah tentu ini satu kemenangan yang cukup baik di mana kami berjaya memperoleh tiga mata penuh ke atas Indonesia.

 "Apa yang boleh saya katakan, separuh masa pertama sudah tentu berbeza dengan separuh masa kedua. Sesuatu yang normal selepas kamu mendahului tiga gol, pasukan lawan pasti akan mengasak habis-habisan selepas itu untuk mencari gol.

 "Tapi para pemain saya dapat mengekalkan disiplin dengan cukup baik terutama ketika bertahan. Dan biarpun kami lebih bertahan pada separuh masa kedua, kami masih mampu mencipta beberapa peluang. Pemain gantian yang masuk pun memberikan sumbangan yang baik.

 "Kami tahu selepas ini kami akan bertemu pula Thailand pada Jumaat di mana saya percaya ia bukan satu perlawanan yang mudah selepas kami menghadapi Indonesia hari ini.

 "Apa yang perlu kami lakukan sekarang ialah kembali fokus untuk perlawanan kedua dan harap pemain dapat melakukan pemulihan yang baik supaya mereka cukup cergas menjelang aksi bertemu Thailand nanti.

 "Sudah tentu untuk layak ke pusingan akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018, kami perlu mendapat sekurang-kurangnya satu mata daripada perlawanan kedua dengan Thailand nanti.

 "Selepas itu baru kita fikirkan aksi terakhir bertemu Mongolia pada Ahad. Tapi kita juga tak boleh pandang rendah Mongolia biarpun pada awalnya mereka dianggap pasukan berkedudukan paling rendah dalam Kumpulan H ini."