KELAYAKAN PIALA ASIA 2019: HONG KONG 2-0 MALAYSIA

2017-10-11

Skuad kebangsaan, Harimau Malaya kendalian Nelo Vingada tewas 2-0 kepada Hong Kong, pasukan ranking ke-147 dunia pada perlawanan ketiga Kumpulan B, Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Hong Kong, Hong Kong, malam tadi.

 Malaysia yang kini berkedudukan ranking ke-166 dunia terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada baki 50 minit permainan selepas kapten, Safiq Rahim dilayangkan kad merah kerana memijak paha pemain pertahanan Hong Kong, Dani Cancela pada minit ke-40.

 Kelebihan itu digunakan sepenuhnya oleh Hong Kong kendalian Kim Pan-gon untuk memperoleh gol pertama pada minit ke-44 menerusi tandukan Jordi Tarres berpunca daripada bola sepakan percuma Wong Wai.

 Hong Kong terus berkedudukan selesa apabila berjaya menambah gol kedua pada awal separuh masa kedua selepas Jaimes McKee pula menanduk masuk bola hantaran Xu Deshuai pada minit ke-49.

 Kedudukan 2-0 itu kekal sehingga wisel penamat untuk menyaksikan Malaysia kekal di tangga keempat Kumpulan B dengan satu mata selepas tiga perlawanan - tanpa kemenangan, sekali seri dan dua kali tewas.

 Lebanon yang membelasah Korea Utara 5-0 di Beirut, malam tadi kekal di tangga teratas kumpulan dengan 10 mata selepas beraksi empat perlawanan diikuti Hong Kong dengan lima mata selepas empat perlawanan sementara Korea Utara di tangga ketiga dengan dua mata selepas tiga perlawanan.

 Skuad Harimau Malaya masih berbaki tiga perlawanan untuk diharungi bagi memburu dua slot teratas kumpulan layak ke pusingan akhir Piala Asia 2019 iaitu dua aksi timbal balik bertemu Korea Utara serta aksi terakhir bertemu Lebanon di Beirut pada 27 Mac 2018.

KREDIT FOTO: Hong Kong Football Association Ltd

 

HONG KONG: 1-Yapp Hung Fai (C); 5-Fernando Recio, 6-Huang Yang, 4-Helio, 3-Dani Cancela; 8-Xu Deshuai, 21-Wong Wai (23-Ju Yingzhi 62'), 15-Roberto Orlando, 20-Jordi Tarres (9-Sandro 70'); 11-Godfred Karikari (16-Tan Chun Lok 78'), 22-Jaimes McKee.

MALAYSIA: 23-Hafizul Hakim Khairul Nizam; 2-Matthew Davies, 5-Shahrom Kalam, 13-Khairul Helmi Johari, 21-Nazirul Naim Che Hashim; 18-Kiko Insa, 17-Syamer Kutty Abba (12-Akram Mahinan 74'); 11-Safawi Rasid (10-Darren Lok 46'), 7-Baddrol Bakhtiar (19-Wan Zack Haikal Wan Nor 78'), 8-Safiq Rahim (C), 16-Syazwan Zainon.

Pengadil: Nivon Robesh Gamini (Sri Lanka)