KELAYAKAN PIALA DUNIA 2022/PIALA ASIA 2023: TIMOR-LESTE 1-5 MALAYSIA

2019-06-12

Skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe melangkah bergaya ke pusingan kedua menerusi agregat 12-2 selepas menewaskan Timor-Leste 5-1 pada aksi kedua Pusingan 1 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Malaysia, ranking ke-168 dunia yang mencatat kemenangan besar 7-1 ke atas Timor-Leste, ranking ke-195 dunia pada aksi pertama di laman sendiri di Stadium Nasional, 7 Jun lalu bertandang ke gelanggang lawan, juga di venue sama memandangkan Timor-Leste tidak mempunyai stadium yang memenuhi kriteria AFC dan FIFA di Dili.

Pada aksi di hari raya ketujuh Aidilfitri yang dihadiri 12,776 penonton malam tadi, Malaysia mudah mendahului 2-0 pada awal babak permainan, kedua-duanya menerusi sentuhan penyudah Shahrel Fikri Md Fauzi.

Pada minit ke-11, Shahrel Fikri menyudahkan hantaran Akhyar Rashid untuk gol pertama Malaysia disusuli gol kedua peribadi beliau menerusi tandukan selepas menerima bola sepakan penjuru daripada Syazwan Andik Ishak pada minit ke-17.

Timor-Leste kemudian berpeluang memperoleh gol bagi merapatkan jurang selepas dihadiahkan sepakan penalti apabila Rufino Gama dijatuhkan Ifwat Akmal Chek Kassim, namun penjaga gol kebangsaan itu berjaya menyelamatkan sepakan penalti diambil kapten, Joao Pedro pada minit ke-30.

Sebaliknya Malaysia berjaya menambah gol ketiga pada minit ke-37, kali ini menerusi rembatan padu Mohamadou Sumareh di depan pintu gol selepas menerima hantaran Syazwan Andik dari sebelah kiri untuk menamatkan babak pertama dengan kedudukan 3-0.

Bersambung babak kedua, Malaysia terus garang menambah gol keempat menerusi penyudah Akhyar pada minit ke-55 selepas menerima bola lorongan daripada Norshahrul Idlan Talaha.

Akhyar kemudian dijatuhkan pertahanan Timor-Leste, Danilson Araujo selepas melakukan satu gerakan solo ke dalam kotak penalti, namun sepakan penalti diambil Shahrel Fikri pada minit ke-60 itu dapat diselamatkan penjaga gol, Aderito Fernandes.

Shahrel Fikri bagaimanapun berjaya juga melengkapkan hatrik pada minit ke-64 selepas merampas bola daripada pemain Timor-Leste, Gumario Moreira di bulatan tengah padang dan melarikan bola lalu melepaskan sepakan kaki kiri yang menerjah jaring untuk gol kelima Malaysia.

Gawang Malaysia bagaimanapun bolos juga pada minit ke-72 selepas hantaran Araujo dari sebelah kanan berjaya ditanduk masuk oleh Rufino untuk menjadikan kedudukan 5-1.

TIMOR-LESTE: 1. Aderito Fernandes (GK), 4. Candido Oliveira, 5. Joao Panji, 7. Rufino Gama, 10. Joao Pedro (C), 13. Gumario Moreira, 16. Danilson Araujo, 18. Filomeno Junior, 21. Frangcyatma Alves, 22. Nelson Sarmento Viegas (17. Jorge Sabas Victor 46') (15. Armindo de Almeida 62'), 23. Osvaldo Belo (11. Gelvanio Angelo 69').

MALAYSIA: 23. Ifwat Akmal Chek Kassim (GK); 2. Matthew Davies (15. Kenny Pallraj 61'), 3. Shahrul Saad (C), 5. Adam Nor Azlin, 6. Syazwan Andik Ishak; 12. Akram Mahinan (14. Syamer Kutty Abba 63'), 8. Nor Azam Abdul Azih; 13. Mohamadou Sumareh, 10. Shahrel Fikri Md Fauzi, 19. Akhyar Rashid; 9. Norshahrul Idlan Talaha (18. Faiz Nasir 67').

Pengadil: Yusuke Araki (Jepun)