KELAYAKAN PIALA DUNIA: MALAYSIA 1 UAE 2

 

Skuad kebangsaan, Harimau Malaya kendalian jurulatih sementara, Datuk Ong Kim Swee tewas 2-1 kepada UAE pada perlawanan ketujuh Kumpulan A, Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Shah Alam, malam tadi.
 
Pada perlawanan tanpa penonton itu, UAE mendahului 1-0 pada separuh masa kedua menerusi jaringan Omar Abdulrahman pada minit ke-22 sebelum menambah gol kedua hasil jaringan Ahmed Khalil, minit ke-52.
 
Malaysia berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-59 apabila Baddrol Bakhtiar menanduk masuk bola sepakan percuma Safiq Rahim dari sebelah kanan, namun kedudukan 2-1 itu kekal sehingga wisel penamat.
 
Pada pertembungan pertama kedua-dua pasukan di Stadium Mohammed Bin Zayed, Abu Dhabi pada 3 September lalu, Malaysia yang ketika itu dibimbing Dollah Salleh tewas 10-0 kepada UAE kendalian Mahdi Ali.
 
Sementara itu, pada satu lagi perlawanan yang berlangsung semalam, Arab Saudi menewaskan Timor Leste 10-0 di Stadium Perbandaran Dili di Dili, Timor Leste.
 
Kedudukan terkini Kumpulan A, Arab Saudi kekal di tangga teratas dengan 16 mata diikuti UAE (13), Palestin (9), Malaysia (4) dan Timor Leste (2).
 
Hanya Malaysia dan Timor Leste sudah beraksi tujuh perlawanan manakala Arab Saudi, UAE dan Palestin enam perlawanan.
 
Perlawanan seterusnya pada 24 Mac 2016, UAE lwn Palestin di Abu Dhabi dan Arab Saudi lwn Malaysia di Dammam manakala perlawanan terakhir kumpulan pada 29 Mac 2016, Palestin lwn Timor Leste di Hebron dan UAE lwn Arab Saudi di Abu Dhabi.
 

 

 

MALAYSIA: 23-Izham Tarmizi Roslan, 2-Matthew Davies, 5-Ronny Harun, 7-Aidil Zafuan Abd Radzak, 4-Fazly Mazlan, 18-Wan Zack Haikal Wan Nor (21-Syahrul Azwari Ibrahim 74'), 9-Ahmad Fakri Saarani (13-Ismail Faruqi Ashari 79'), 11-Baddrol Bakhtiar, 19-Azamuddin Akil (20-Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham 69'), 8-Safiq Rahim (KP), 10-Safee Sali.
 
UAE: 12-Khalid Eisa, 9-Abdulaziz Hussain, 6-Mohanad Salem, 19-Ismail Ahmed, 17-Mohammed Fayez, 5-Amer Abdulrahman, 8-Majed Hassan, 10-Omar Abdulrahman, 4-Habib Fardan (21-Dawood Albalooshi 46'), 7-Ali Mabkhout (14-Ahmed Alhashmi 90+1'), 11-Ahmed Khalil (KP) (15-Ismail Al Hammadi 63').
 
Pengadil: Masaaki Toma (Jepun)
 

J Category: 
latest news