KENYATAAN MEDIA FAM BERHUBUNG KEPUTUSAN SIASATAN SPRM

2016-09-05

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini ingin mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana telah mengeluarkan satu kenyataan media berhubung keputusan siasatan berkenaan isu pendrive.

 Kenyataan SPRM itu telah menjelaskan sepenuhnya bahawa isi kandungan pendrive yang diserahkan Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin kepada mereka pada 2 September lalu didapati tidak mengandungi sebarang unsur rasuah mengikut Akta SPRM 2009.

 Walau bagaimanapun, pihak persatuan tetap prihatin mengenai saranan SPRM bagi proses penambahbaikan khususnya berhubung isu-isu teknikal yang telah dibangkitkan.

 Selepas menerima laporan lengkap mengenai siasatan pendrive itu daripada SPRM dalam tempoh terdekat ini, pihak persatuan akan meneliti dokumen tersebut sebelum melakukan sebarang tindakan selanjutnya.

 Dengan penjelasan SPRM itu, diharap isu pendrive ini telah pun selesai dan ingin diperjelaskan lagi bahawa pihak persatuan sentiasa bersedia pada bila-bila masa untuk bekerjasama dalam apa juga isu termasuk SPRM dan mana-mana pihak atau penyokong demi kebaikan bola sepak Malaysia.

 

DATO' HAJI HAMIDIN HAJI MOHD AMIN

SETIAUSAHA AGUNG FAM

ISNIN, 5 SEPTEMBER 2016