KENYATAAN MEDIA: FIFA TERIMA SURAT FAM CALONKAN GOL FAIZ SUBRI

2016-03-16 

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada hari ini telah menerima surat maklum balas daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bahawa badan induk bola sepak dunia itu sudah menerima surat daripada FAM bagi mencadangkan gol pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri dicalonkan untuk Anugerah Puskas FIFA 2016.

 Dalam surat bertarikh 14 Mac 2016 dari ibu pejabat FIFA di Zurich, Switzerland yang ditandatangani Pemangku Setiausaha Agung FIFA, Markus Kattner itu, FIFA mengucapkan terima kasih kepada FAM kerana menghantar surat kepada mereka yang turut dilampirkan salinan video gol tersebut untuk dinilai oleh FIFA.

 Biarpun FIFA tidak boleh memberi jaminan gol berkenaan akan menjadi salah satu daripada 10 calon akhir untuk Anugerah Puskas FIFA 2016, Kattner mengesahkan bahawa gol Faiz itu akan tetap dipertimbangkan bersama-sama gol menarik lain dari pelbagai pertandingan seluruh dunia sepanjang tahun ini.

 Tambah Kattner lagi di dalam surat berkenaan, FIFA akan memaklumkan kepada FAM nanti andai gol Faiz itu berjaya tersenarai dalam 10 calon akhir Anugerah Puskas FIFA 2016.

 Terdahulu dalam surat yang dihantar FAM kepada FIFA pada 22 Februari 2016, FAM mencadangkan kepada FIFA agar gol dijaringkan pemain berusia 29 tahun itu menerusi sepakan percuma unik dari jarak kira-kira 32 meter pada minit ke-62 ketika perlawanan Liga Super 2016 antara Pulau Pinang bertemu Pahang di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Februari 2016 dapat tersenarai sebagai salah satu calon Anugerah Puskas FIFA 2016.

 

DATO’ HAJI HAMIDIN HAJI MOHD AMIN

SETIAUSAHA AGUNG FAM

16 MAC 2016