KENYATAAN MEDIA: HAMIDIN PUJI HARIMAU MALAYSIA, UCAP TERIMA KASIH KEPADA TMJ

2016-06-03

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengucapkan tahniah kepada skuad Harimau Malaysia di atas kejayaan meraih kemenangan pertama pada tahun 2016 ini dengan menewaskan Timor-Leste 3-0 pada perlawanan pertama Play-Off 1 Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Tan Sri Dato' Hj Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

 Tahniah kepada ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee dan para pemain Harimau Malaysia yang telah mengotakan janji mereka untuk memberi persembahan menarik dan juga kemenangan selesa sebagai bekalan menjelang perlawanan kedua di 'tempat lawan' yang dijadual berlangsung di stadium yang sama pada Isnin ini, 6 Jun 2016.

 Biarpun sudah memiliki kelebihan tiga gol dan tidak dibolosi gol di tempat sendiri untuk perlawanan pertama malam tadi, perjalanan masih jauh dan skuad Harimau Malaysia perlu menamatkan perlawanan kedua Isnin ini dengan kemenangan selesa bagi memberi keyakinan yang lebih kepada pasukan.

 Ini bagi memastikan skuad Harimau Malaysia terus dapat memperbaiki segala kekurangan dari segi taktikal dan persefahaman di dalam dan luar padang sebelum meneruskan siri jelajah ke Oceania pada bulan Ramadan untuk menghadapi tiga perlawanan persahabatan antarabangsa "A" bertemu Papua New Guinea pada 17 Jun, New Caledonia (22 Jun) dan Fiji 26 Jun) bagi memperbaiki ranking FIFA di kedudukan 173 dunia ketika ini.

 Tidak dilupakan juga ucapan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) kerana telah memberikan sokongan tidak terhingga kepada skuad Harimau Malaysia sejak kami tiba di Johor Bahru pada Ahad lalu, 29 Mei 2016.

 Tunku Ismail telah bermurah hati untuk membenarkan skuad Harimau Malaysia menggunakan fasiliti bertaraf antarabangsa milik JDT seperti sesi latihan di Padang Latihan Seri Gelam dan Pusat Latihan Tertutup Dato' Suleiman Mohd Noor serta menjemput para pemain dan pegawai pasukan untuk makan malam di istana baginda pada Selasa lalu, 31 Mei 2016.

 Selain itu, kesudian Tunku Ismail untuk membenarkan skuad Harimau Malaysia mengguna pakai Stadium Tan Sri Dato' Hj Hassan Yunos yang mempunyai fasiliti lengkap dan padang yang baik sebagai gelanggang bagi dua perlawanan play-off ini telah menyaksikan para pemain berjaya mempamerkan permainan baik pada perlawanan pertama, malam tadi.

 Malah kehadiran 10 pemain JDT dan seorang pemain JDT II dalam skuad Harimau Malaysia dilihat berjaya memperkasakan skuad Harimau Malaysia kali ini dan ia bolehlah dianggap satu sumbangan besar JDT kepada pasukan kebangsaan.

 Selain itu, tahniah juga diucapkan kepada semua petugas di stadium pada perlawanan malam tadi termasuk pihak keselamatan, kakitangan Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dan JDT serta para marshal yang telah memastikan perjalanan perlawanan cukup lancar dan teratur. Harap ia dapat diteruskan pada perlawanan kedua, Isnin ini.

 Biarpun sudah mendahului selesa 3-0, sokongan daripada para penyokong tempatan tetap ditagih bagi memberikan semangat yang lebih kepada para pemain dalam memburu satu lagi kemenangan pada perlawanan kedua, Isnin ini yang sepak mulanya dijadual jam 10.00 malam kerana ia hari pertama umat Islam dijangka menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan.

 

DATO' HAJI HAMIDIN HAJI MOHD AMIN

SETIAUSAHA AGUNG FAM MERANGKAP PENGURUS PASUKAN KEBANGSAAN

JUMAAT, 3 JUN 2016