KENYATAAN RASMI SETIAUSAHA AGUNG FAM BERHUBUNG 3 PEMAIN SELANGOR GAGAL LAPOR DIRI KE KEM LATIHAN SKUAD MALAYSIA XI

KENYATAAN RASMI SETIAUSAHA AGUNG FAM, DATO' HAMIDIN MOHD AMIN BERHUBUNG TIGA PEMAIN SELANGOR GAGAL LAPOR DIRI KE KEM LATIHAN SKUAD MALAYSIA XI BERTEMU LIVERPOOL
 
Adalah dimaklumkan bahawa tiga pemain skuad Liga Super Selangor - Ahmad Hazwan Bakri, Muhammad Afiq Azmi dan Robert Cornthwaite didapati gagal melaporkan diri kepada ketua jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Ahad lalu (19 Julai) seperti mana yang telah ditetapkan.
 
 Sehingga pagi tadi, ketiga-tiga pemain berkenaan masih belum melapor diri kerana difahamkan mereka tidak dilepaskan oleh pengurus skuad Liga Super Selangor untuk menyertai kem latihan skuad Pilihan Malaysia (Malaysia XI) bagi menghadapi perlawanan persahabatan menentang Liverpool di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jumaat ini (24 Julai).
 
 Bagi mengisi tempat tiga pemain Selangor itu, jurulatih Dollah Salleh sudah pun memanggil tiga pemain baharu sebagai pengganti iaitu Christie Jayaseelan (Felda United), S Kumaahran (Harimau Muda B) dan Vincent Bikana (Terengganu) bagi melengkapkan senarai 20 pemain untuk kem latihan kali ini.
 
 Justeru, pihak FAM kini hanya akan menunggu laporan penuh mengenai pengesahan ketidakhadiran tiga pemain Selangor berkenaan daripada jurulatih Dollah Salleh selepas berakhirnya perlawanan menentang Liverpool, Jumaat ini.
 
 Selepas menerima laporan tersebut, perkara ini akan dirujuk ke jawatankuasa yang berkenaan untuk tindakan selanjutnya.
 
DATO' HAMIDIN MOHD AMIN
SETIAUSAHA AGUNG FAM
SELASA, 21 JULAI 2015
J Category: 
article/press-release