KENYATAAN RASMI SETIAUSAHA AGUNG FAM BERHUBUNG KELANCARAN PERJALANAN PERLAWANAN AKHIR TM PIALA MALAYSIA 2015

2015-12-13

Pertama sekali, ucapan terima kasih daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada semua penyokong Selangor dan Kedah yang telah memberikan kerjasama baik ketika hadir menyaksikan Perlawanan Akhir TM Piala Malaysia 2015 di Stadium Shah Alam, malam tadi.
 
 Pujian harus diberikan kepada penyokong kedua-dua pasukan yang cukup berdisiplin tinggi tanpa mencetuskan sebagai kekecohan sama ada sebelum, semasa atau selepas perlawanan untuk memastikan kelancaran perlawanan akhir kali ini.
 
 Kehadiran kira-kira 70,000 penyokong Selangor dan Kedah telah menghidupkan suasana yang cukup meriah sepanjang perlawanan dan saya dapati tanpa perlu membakar mercun, bom asap atau suar pun mereka tetap boleh memberikan sokongan padu kepada pasukan masing-masing.
 
 Saya mewakili FAM berharap sikap dan kelakuan baik yang ditunjukkan para penyokong Selangor dan Kedah, malam tadi dapat diteruskan dan dicontohi penyokong pasukan-pasukan lain untuk perlawanan akhir akan datang atau mana-mana perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) selepas ini.
 
 Keduanya, saya turut memuji pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah memberi kerjasama baik dengan pihak FAM bagi memastikan perlawanan akhir kali ini berlangsung dengan lancar tanpa sebarang insiden yang menjejaskan keselamatan semua yang hadir menyaksikannya di stadium.
 
 Nyata kehadiran kira-kira 2,200 anggota polis dan pihak keselamatan telah berjaya mengawal keadaan di dalam dan luar stadium dengan baik sebelum, pada dan selepas perlawanan, malam tadi.
 
 Akhir sekali, FAM ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan Selangor yang berjaya muncul sebagai juara Piala Malaysia buat kali ke-33 dan kepada pasukan Kedah, cuba lagi pada musim hadapan.
 
DATO' HJ HAMIDIN HJ MOHD AMIN
SETIAUSAHA AGUNG FAM
13 DISEMBER 2015

J Category: 
latest news