KENYATAAN RASMI SETIAUSAHA AGUNG FAM, DATO' HAMIDIN MOHD AMIN BERHUBUNG ISU SEMASA MEMBABITKAN SAINGAN LIGA MALAYSIA 2015

Pertama sekali, saya ingin menjelaskan bahawa FAM hanya bertanggungjawab terhadap mereka yang merupakan ahli-ahli gabungan FAM. Jadi jika individu berkenaan contohnya adalah Exco Sukan di mana-mana negeri, pihak FAM tidak bertanggungjawab terhadap mereka.
 
 Apa pun, pihak FAM sentiasa prihatin terhadap pandangan-pandangan daripada peminat tetapi harus diingat FAM hanya 'locus standi' terhadap presiden dan ahli gabungannya.
 
 Kedua, perlu diketahui bahawa mana-mana pertandingan atau kejohanan mestilah mempunyai badan pengelolanya dan di sini FAM adalah badan yang sah untuk mengendalikan saingan Liga Malaysia ketika ini.
 
 Jadi andai kata sesebuah pasukan itu tidak berpuas hati dengan sebarang hukuman yang dikenakan, mereka perlu sedar yang sebenarnya mereka pun ada wakil di kalangan jawatankuasa-jawatankuasa tetap FAM.
 
 Ketiga, Jawatankuasa Tatatertib FAM dan Jawatankuasa Rayuan FAM adalah badan bebas seperti yang diarahkan FIFA dan AFC. Jadi pengerusi dan semua ahli kedua-dua jawatankuasa ini dari kalangan mereka yang tiada kena mengena dengan ahli gabungan FAM.
 
 Mereka ini tiada kepentingan peribadi dan menjatuhkan sesuatu hukuman itu berdasarkan Kod Tatatertib FAM seperti yang diputuskan oleh FIFA, AFC dan FAM.
 
 Keempat, mana-mana presiden ahli gabungan atau pegawai-pegawai tertinggi mereka perlu terlebih dahulu merujuk kepada pegawai mereka terdiri daripada setiausaha agung/setiausaha kehormat dan pentadbir pasukan yang hadir ke sesi taklimat sebelum Liga Malaysia 2015 bermula yang diadakan di Hotel Grand Bluewave Shah Alam pada awal tahun ini.
 
 Pegawai-pegawai dari ahli gabungan yang hadir pada sesi taklimat berkenaan sudah pun diberi penerangan mengenai Kod Tatatertib FAM 2015 dan mereka tidak boleh mengatakan yang mereka tidak tahu prosedur kerana sudah pun diberi penerangan serta buku-buku berkenaan.
 
 Kelima, hukuman yang dijatuhkan Jawatankuasa Tatatertib FAM boleh dirayu jika dinyatakan ia boleh dirayu dalam sesuatu keputusan kes itu. Jadi FAM tidaklah sekejam seperti digambarkan.
 
 Pihak FAM memahami kekangan kewangan ahli gabungan yang dikenakan hukuman tetapi mereka perlu mengikut prosedur ditetapkan untuk membuat rayuan bagi meringankan hukuman dikenakan.
 
 Jadi di sini saya akan menjelaskan serba sedikit mengenai prosedur membuat rayuan terhadap sesuatu hukuman yang dijatuhkan Jawatankuasa Tatatertib FAM:
 
1. Mengikut Artikel 119 Para 1, Kod Tatatertib FAM 2015, apabila sesuatu hukuman itu sudah diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM, ahli gabungan atau individu terlibat mempunyai tempoh 10 hari daripada tarikh mereka menerima surat pemakluman rasmi itu untuk menyatakan mahu membuat rayuan dan meminta FAM memberikan alasan-alasan terhadap hukuman yang dijatuhkan itu.
 
 Ini kerana mengikut Kod Tatatertib FAM 2015, pihak FAM tidak perlu menyatakan alasan-alasan terhadap hukuman yang dijatuhkan dalam surat menyatakan jatuh hukum berkenaan.
 
 Jadi ahli gabungan atau individu perlu membalas surat kepada FAM dalam tempoh 10 hari tanpa perlu disertakan deposit RM500. Jika gagal berbuat demikian, mereka dianggap tidak berminat untuk membuat rayuan.
 
2. Apabila sudah menerima surat rayuan, pihak Jawatankuasa Tatatertib FAM dalam tempoh selewat-lewatnya sebulan akan membalas surat berkenaan dengan dilampirkan alasan-alasan terhadap hukuman yang dijatuhkan.
 
3. Mengikut Artikel 123 Para 1, Kod Tatatertib FAM 2015, ahli gabungan atau individu terlibat perlu membalas pula surat berkenaan dalam tempoh tiga hari, hanya untuk menyatakan mereka mahu merayu kepada Jawatankuasa Rayuan FAM atau tidak.
 
4. Selepas itu, mengikut Artikel 123 Para 2, Kod Tatatertib FAM 2015, lanjutan tempoh tujuh hari lagi akan diberi kepada ahli gabungan atau individu terlibat untuk menyatakan afidavit (keterangan bertulis) atau apa-apa bukti sokongan bagi rayuan yang dihantar ke Jawatankuasa Rayuan FAM itu berserta dengan wang deposit RM500 mengikut Artikel 126 Para 1, Kod Tatatertib FAM 2015.
 
 Sementara itu, mengenai rungutan sesetengah jurulatih yang menyatakan pemain mereka keletihan untuk beraksi di bulan Ramadan ketika ini, saya ingin menyatakan bahawa Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM sudah pun memutuskan untuk perlawanan Liga Super 2015 dan Liga Premier 2015 dilangsungkan di bulan Ramadan ini sebelum liga bermula lagi.
 
 Keputusan ini juga sudah diluluskan oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM dan dimaklumkan awal kepada semua pasukan bertanding sebelum saingan Liga Malaysia 2015 bermula.
 
 Semua pihak perlu faham yang saingan Liga Malaysia 2015 bermula agak lewat kerana pihak FAM perlu terlebih dahulu menyelesaikan hal penajaan liga bagi musim baharu.
 
 Akhir sekali, diharap semua pihak tidak semata-mata  hanya mengeluarkan kenyataan di media, sebaliknya boleh menghubungi pihak Sekretariat FAM atau jabatan-jabatan berkenaan terlebih dahulu bagi menyelesaikan masalah atau perkara berkaitan prosedur.
 
 Kami di pihak Sekretariat FAM sentiasa bersedia untuk memberi bantuan dan pertolongan kepada mana-mana ahli gabungan yang ingin mendapatkan maklumat jelas atau mengetahui prosedur untuk menyelesaikan sesuatu perkara itu.
 
DATO' HAMIDIN MOHD AMIN
SETIAUSAHA AGUNG FAM
26 JUN 2015
J Category: 
article/press-release