KENYATAAN SETIAUSAHA AGUNG FAM BERHUBUNG BEBERAPA ISU SEMASA

2016-02-11

Setiausaha Agung FAM, Dato’ Hamidin Mohd Amin telah menjawab beberapa isu ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Pembangunan Bola Sepak Wanita FAM 2016 di TH Hotel Kelana Jaya, pagi tadi.

 

 Berikut antara kenyataan dibuat oleh Dato’ Hamidin:

 

1. Siapa bakal dipilih sebagai penolong ketua jurulatih skuad Projek Sukan SEA 2017

Kita akan memutuskannya dalam mesyuarat antara FAM dan MSN di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, jam 9 pagi esok (Jumaat). Ketua jurulatih skuad Projek Sukan SEA 2017, Frank Bernhardt akan membentangkan kertas kerja dan cadangan mengenai calon pembantunya serta program pasukannya dalam mesyuarat itu nanti.

 

2. Ada pihak kurang senang dengan kewujudan FMLLP untuk menguruskan Liga Super dan Liga Premier mulai musim ini

Tujuan FMLLP ditubuhkan adalah untuk melihat pentadbiran dan kewujudan liga yang sepenuhnya professional. Jadi dalam dunia ini, memang kita takkan boleh puaskan hati semua pihak seratus peratus. Tapi secara keseluruhannya, tujuan penubuhan FMLLP ini bagus tetapi mungkin di peringkat awal ini ada sedikit kelemahan yang perlu diperbaiki pada masa akan datang.

 

3. Isu perebutan pemain, Oluwasegun Oluwatobi atau dikenali Tobi antara PKNS FC dan Felda United FC

Pemain berkenaan telah bertemu dengan wakil Jabatan Undang-Undang FAM dan pagi tadi saya telah membincangkan masalah ini. Jabatan Undang-Undang FAM sedang menilai kes ini kerana pemain berkenaan mendakwa beliau belum menandatangani kontrak dengan mana-mana pasukan. Kita telah nasihat beliau untuk membuat aduan rasmi dan menyertakan dokumen kontrak jika dia benar-benar sudah menandatangani kontrak dengan PKNS FC atau Felda United FC. Selepas itu barulah Jabatan Undang-Undang FAM akan mengambil tindakan mengikut peraturan status.

 

4. Cabaran berdebat secara terbuka di televisyen dan nama disebut Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam kenyataan di Facebook JOHOR Southern Tigers, semalam

Mungkin itu kenyataan umum mengenai pandangan Tunku Ismail. Saya ingat bagi pihak saya sendiri, kita fokus dengan apa yang kita buat. Debat itu mungkin harapan Tunku Ismail. Saya ingat itu pandangan Tunku Ismail dan saya rasa saya juga ada pandangan saya sendiri. Jadi apa-apa untuk kebaikan bola sepak, terpulang kepada pihak yang menginginkannya, bermakna kita beri ruang jika ada sesiapa berminat atau itu cara terbaik. Ini kerana, pendekatan penyokong bola sepak sekarang berbeza berbanding 20 atau 30 tahun dulu terutama dengan adanya media sosial. Jika itu adalah pendekatan terbaik, saya tak pasti.

 

5. Selepas liga diuruskan FMLLP dan pembubaran program Harimau Muda, apa keutamaan FAM ketika ini

Sudah tentu fokus utama kita adalah pasukan kebangsaan. Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM akan bermesyuarat minggu depan dan ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee akan membentangkan kertas cadangannya untuk program perlawanan dan kejohanan yang mahu disertai. Selain itu, kita turut fokus kepada persiapan skuad Projek Sukan SEA 2017, futsal lelaki dan wanita serta bola sepak wanita dan kejohanan-kejohanan lain. Di samping itu, kita juga menumpukan kepada teknikal dan juga pembangunan belia untuk semua peringkat umur.