KEPUTUSAN MESYUARAT JAWATANKUASA TATATERTIB FAM KALI KEDUA BAGI PENGGAL 2021-2025

2021-04-01

Jawatankuasa Tatatertib FAM dalam mesyuarat kali kedua bagi penggal 2021-2025 pada Khamis, 1 April 2021 telah mencapai keputusan berikut:

 

1. Pemain Johor Darul Ta'zim - Natxo Insa

 

Kesalahan: Melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM (edisi 2015) iaitu kelakuan yang tidak bersemangat sukan pada perlawanan Liga Super 2021, Perak FC lwn Johor Darul Ta'zim di Stadium Perak, Ipoh pada 21 Mac 2021.

 

Hukuman: Pemain ini dikenakan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM10,000 akibat daripada tindakannya yang berkelakuan tidak bersemangat sukan terhadap pengadil, Noor Azriel Baharudin apabila menyentuh dada pengadil berkenaan menggunakan kedua-dua tangannya selepas perlawanan menentang Perak FC itu.

Jawatankuasa telah memutuskan untuk mengguna pakai Artikel 35 Kod ini di mana pemain ini dikenakan penggantungan satu perlawanan terlebih dahulu dan baki satu lagi perlawanan adalah ditangguh tertakluk kepada kelakuan baik pemain ini dalam tempoh lapan bulan dari tarikh surat diterima.

Merujuk kepada Artikel 40 Kod ini, penggantungan dua perlawanan yang dikenakan ke atas pemain ini adalah seperti berikut, tertakluk kepada sebarang pindaan jadual perlawanan oleh pihak penganjur:

i) Perlawanan Liga Super 2021, Johor Darul Ta’zim FC lwn Melaka United FC pada Jumaat, 2 April 2021; dan

ii) Baki satu lagi perlawanan adalah ditangguhkan terlebih dahulu tertakluk kepada kelakuan baik pemain ini. Jika pemain ini didapati bersalah mengulangi kesalahan yang sama, baki hukuman penggantungan satu perlawanan ini akan berkuatkuasa dengan serta-merta.

Pemain ini juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

Hanya keputusan berkaitan hukuman denda dibenarkan untuk rayuan.

 

DATUK BALJIT SINGH SIDHU

PENGERUSI JAWATANKUASA TATATERTIB FAM