KIM SWEE BAKAL UMUM SENARAI PEMAIN 23 OGOS BAGI HADAPI INDONESIA

2016-08-06

Ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee akan mengumumkan senarai 23 atau 25 pemain pada 23 Ogos ini bagi persiapan skuad Harimau Malaysia menghadapi Indonesia pada perlawanan persahabatan antarabangsa "A" di Surabaya, Indonesia pada 6 September ini.

 "Kita akan memulakan kem latihan pusat pada 29 Ogos ini dan senarai pemain yang bakal dipanggil hanya akan dikeluarkan pada 23 Ogos ini iaitu selepas perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia (20 Ogos).

 "Saya jangkakan seramai 23 atau 25 pemain akan dipanggil untuk persiapan menghadapi Indonesia ini.

 "Sudah tentu akan ada tiga atau empat perubahan pemain daripada senarai pemain yang bersara dan tiga atau empat pertukaran pemain yang cedera.

 "Saya akan melihat situasi dalam masa dua minggu ini untuk menentukan siapa pemain yang akan dipanggil," kata Kim Swee pada sidang media selepas hadir ke majlis perasmian Kejohanan Bola Sepak 7 Sebelah Royal Selangor Club (RSC) di Bukit Kiara, Kuala Lumpur, pagi tadi.

 Kekosongan perlu diisi Kim Swee selepas empat pemain senior dari pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu ketua pasukan, Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abd Radzak, S Kunanlan dan Amirulhadi Zainal telah membuat pengumuman untuk bersara dari pentas antarabangsa pada 12 dan 14 Julai lalu selain kecederaan menimpa beberapa pemain kebangsaan lain seperti dialami kapten Selangor, Shahrom Kalam.

 "Bukan saja saya, tapi barisan kejurulatihan saya dalam skuad kebangsaan telah ke beberapa venue perlawanan dan kita dapat mengenal pasti beberapa pemain untuk diketengahkan terutama untuk menggantikan pemain-pemain yang bersara dan cedera seperti Shahrom Kalam. Kita perlu dapatkan pelapis jika berlaku lagi kecederaan menjelang Piala Suzuki AFF 2016, November ini.

 "Biarpun tempoh singkat, saya percaya sehingga bulan November nanti sebelum Piala Suzuki AFF bermula, kita mampu mengumpulkan pemain-pemain kita dengan lebih lama untuk mereka bersatu dan membentuk persefahaman termasuk mengadakan 'team building' selepas berakhirnya final Piala Malaysia pada penghujung Oktober ini," jelas Kim Swee.

 Diminta mengulas mengenai isu semasa di mana terdapat pihak tertentu mendesak pihak pengurusan FAM untuk melantik jurulatih asing bagi mengendalikan skuad kebangsaan, ini jawapan Kim Swee:

 "Bagi saya, apa yang diperkatakan pihak tertentu itu sudah tentu saya tidak boleh terlalu menitikberatkannya. Yang penting, saya perlu tahu tugas saya untuk menyediakan pasukan kebangsaan dan pihak pengurusan juga sudah memaklumkan kepada saya, apa tugas saya. Jadi itu tidak akan menjadi isu yang besar kepada saya.

 "Tidak (tertekan). Saya seperti jurulatih yang biasa, jika pihak pengurusan sudah mengarahkan saya untuk mengendalikan pasukan, sudah tentu itu akan menjadi tugas yang perlu saya laksanakan dengan baik."

 Kim Swee, 46, secara rasmi telah dilantik sebagai ketua jurulatih kebangsaan yang baharu pada 18 Januari lalu selepas beliau memangku sementara jawatan tersebut sejak 5 September 2015, sehari selepas Dollah Salleh meletak jawatan ekoran kekalahan skuad kebangsaan kepada UAE 10-0 pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Abu Dhabi pada 3 September 2015.