Kontrak Rajagobal sampai Disember

 

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sahkan tidak melanjutkan khidmat Datuk K. Rajagobal sebagai ketua jurulatih pasukan negara selepas tempoh kontraknya berakhir pada 31 Disember ini.

Sebaliknya, jurulatih Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee dilantik sebagai jurulatih sementara negara sehingga FAM menemui penyandang tetap yang berkemungkinan besar warga asing dalam tempoh menjelang perlawanan Kumpulan D Piala Asia 2015 dengan Yemen, 5 Mac depan.

Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya, Ahad, memutuskan bahawa sudah sampai masanya pasukan negara memberi peluang kepada jurulatih luar atau sesiapa yang boleh membawa sumbangan yang lebih besar.

"Datuk Rajagobal pun antara jurulatih negara yang paling lama berkhidmat dengan FAM. Peminat juga patut faham kita akan beralih ke era baharu dan orang lain perlu diberi peluang,” kata Naib Presiden FAM, Dato’ Sri Subahan Kamal.

"Kami berterima kasih atas segala jasa beliau sejak menjadi jurulatih negara dan bawah 23 tahun negara (pingat emas Sukan SEA 2009 dan Piala Suzuki AFF 2010) tetapi akhirnya keputusan dibuat berdasarkan KPI (layak ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia).

"Datuk Kim Swee cuma dijadikan jurulatih sementara tetapi bukan bererti dia ketua jurulatih kebangsaan. Sekembalinya daripada tugasan Sukan SEA (bulan depan) dan jika tiada lagi pelantikan ketua jurulatih baharu, dia jadi jurulatih sementara untuk lawan Yemen. Ini hanya pelan persediaan," kata beliau.

Dato’ Sri  Subahan yang juga pengurus pasukan negara dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal FAM berkata, kontrak Kim Swee turut dilanjutkan selepas 2013 dengan akan menerajui Harimau Muda A, skuad bawah 23 tahun kebangsaan itu.

 

J Category: 
article/latest-news