Lembaran baru Liga Malaysia

Impian terlaksana. Rentak permainan kemas ala tiki-taka pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan impian menjadi juara Piala Sumbangsih buat julung kalinya menjadi kenyataan apabila menumpaskan pasukan gergasi Pantai Timur Pahang di hadapan sokongan padu 30,000 penonton di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunus, Larkin.

Jika pertembungan menarik di antara dua musuh tradisi Liga Super tempoh hari dijadikan kayu ukur, maka peminat-peminat semestinya bakal disajikan dengan persaingan sengit untuk merebut kejuaraan domestik yang berprestij itu.

Tahun ini juga menjanjikan aksi awang-awang import baru berkaliber yang bakal mewarnai kancah liga seperti bintang Piala Dunia Honduras, Jerry Palacios yang akan mengetuai jentera serangan ATM dan juga bekas bintang berbisa Liverpool, El Hadji Diouf yang akan menggepalai kempen Sabah untuk kembali digeruni di arena bola sepak tempatan.

Kehadiran bekas bintang-bintang Piala Dunia musim ini pasti menggamit kenangan buat peminat-peminat liga bola sepak Malaysia yang dahulunya menampilkan lagenda seperti bekas penjaga gol Czechoslavakia dan Selangor, Karel Stromsik.

Namun, tidak semua pasukan mengambil langkah untuk berbelanja besar di dalam tingkap perpindahan kali ini; dengan Perak dan Kedah terus menyandarkan kepercayaan yang tinggi terhadap kekuatan program pembangunan belia masing-masing yang telah melahirkan pemain-pemain yang membentuk nuklues pasukan.

Tidak kurang meriahnya juga adalah persaingan liga divisyen tiga kebangsaan - Liga FAM yang akan disertai juara Piala Malaysia musim 2004 dan 2006; Perlis, dan pasukan-pasukan pelapis seperti Harimau Muda C, Real Mulia FC dan JDT III. Bakat-bakat muda seperti Kogileswaran a/l Raj (Harimau Muda C) dan Ash Hameed (Real Mulia FC) sudah pasti akan menarik minat penyokong-penyokong bola sepak akar umbi tempatan.

Mampukah JDT mempertahankan kejuaraan mereka? Adakah Selangor akan kembali mendominasi kancah bola sepak negara? Semua persoalan ini akan terjawab ketika sepak mula liga Malaysia hujung minggu ini.

News and Articles

J Category: 
article/latest-news