LFK 2017: MELAKA, FELDA UNITED PILIHAN PEMAIN HARIMAU MALAYSIA

2017-02-11

Liga Futsal Kebangsaan (LFK) 2017 yang membuka tirai saingan untuk Sirkit 1 di Arena UPSI, Tanjung Malim, hari ini bakal menyaksikan dua pasukan iaitu Melaka dan juara bertahan, Felda United menjadi destinasi pilihan utama para pemain skuad futsal kebangsaan, Harimau Malaysia.

 Jika dibuat perkiraan daripada senarai 14 pemain skuad Harimau Malaysia kendalian jurulatih Chiew Chun Yong yang berjaya meraih tempat ketiga pada Kejuaraan Futsal AFF 2016 di Bangkok, Thailand, 29 Januari lalu, seramai enam pemain bakal menyarung jersi Melaka manakala lima pemain memilih beraksi bersama Felda United.

 Melaka bimbingan jurulatih Mohamad I'sah Abd Rahim bakal diperkuat bekas penjaga gol MPSJ, Mohd Firdaus Razali, tiga bekas pemain Selangor - Khairul Effendy Mohd Bahrin, Saiful Aula Ahmad dan Awaluddin Hassan serta dua bekas pemain Felda United - Abu Haniffa Hassan dan Saiful Nizam Mohamad Ali.

 Felda United kendalian bekas pemain kebangsaan, Addie Azwan Zainal pula mengekalkan penjaga gol Azrul Hadee Mohd Taufiq, Azwann Ismail dan Azri Rahman serta mendapatkan khidmat dua bekas pemain MPSJ, Syed Aizad Daniel Syed Nasir dan Aidil Shahril Rosli.

 Sementara bekas pemain Sabah, Ridzwan Bakri menyertai Akmarulnizam Idris untuk menyarung jersi Pahang dan pemain muda berusia 19 tahun, Awalludin Mat Nawi pula bakal beraksi bersama Perak.

 Bagi Mohd Firdaus, 33, yang juga ketua pasukan kebangsaan, beliau mahu memastikan enam mata maksimum menjadi milik Melaka apabila bertemu dua pasukan baharu yang layak dari saingan kelayakan, MBPP (12.00 tengah hari ini) dan KL City FC (10.30 pagi esok).

 "Kami enam pemain dari skuad kebangsaan baru dapat berlatih bersama rakan sepasukan lain untuk tempoh dua minggu terakhir ini. Jadi mungkin tahap keserasian kami belum cukup mantap untuk menghadapi dua perlawanan pada Sirkit 1 ini.

 "Dua pasukan yang bakal dihadapi Melaka ini merupakan pasukan baharu dan kami tak tahu sejauh mana tahap kekuatan mereka. Jadi kami tak boleh memandang rendah dan mengambil mudah dua pasukan ini.

 "Sudah tentu kami menyasarkan enam mata maksimum daripada dua perlawanan ini kerana pada sirkit-sirkit yang akan datang, kami pasti akan berdepan pasukan-pasukan yang lebih kuat dan hebat. Jadi kami tak boleh tercicir mata minggu ini," kata Mohd Firdaus.

 Sebanyak lapan perlawanan bagi kategori lelaki yang disertai sembilan pasukan dan enam perlawanan bagi kategori wanita yang disertai enam pasukan bakal berlangsung sepanjang dua hari Sirkit 1 pada hari ini dan esok.

 Dengan ketiadaan saingan LFK pada tahun lalu, musim 2015 sebelum itu telah menyaksikan Felda United muncul juara berganda iaitu liga dan piala bagi kategori lelaki manakala bagi kategori wanita, Selangor muncul juara liga dan MPSJ FC juara piala.

 Namun bagi LFK 2017, hanya saingan liga dipertandingkan dengan juara akan dinobatkan kepada pasukan yang mengumpul mata tertinggi selepas berakhir kesemua 16 perlawanan bagi kategori lelaki dan 10 perlawanan kategori wanita pada Sirkit 9 yang dijadual pada 6 dan 7 Mei depan.

 Musim ini juga menyaksikan penarikan diri beberapa pasukan utama antaranya Selangor, MPSJ FC dan juga Sabah bagi kedua-dua kategori tetapi menampilkan penyertaan pasukan baharu seperti MBPP, KL City FC dan KL Petaling Putra FC bagi kategori lelaki serta ATM dan Sarawak bagi kategori wanita.

 Ditanya pasukan mana yang mampu mencabar Melaka untuk merebut kejuaraan kategori lelaki pada LFK 2017, Mohd Firdaus berkata, tiga pasukan perlu diberi perhatian.

 "Bagi saya, pencabar utama kali ini ialah pasukan Felda United, Perak dan juga Pahang. Felda United dan Pahang dibarisi pemain-pemain yang berkualiti manakala Perak telah melakukan persiapan lebih awal.

 "Pasukan-pasukan lain nampak seimbang kerana majoriti pemain dari Lembah Klang ini telah berpecah mewakili beberapa pasukan lain.

 "Apa pun saingan Sirkit 1 pada minggu ini pasti menarik kerana semua pemain cukup teruja selepas ketiadaan saingan liga pada tahun lalu dan saya jangka beberapa keputusan mengejut boleh berlaku," jelas Mohd Firdaus.