LFK 2017: MELAKA TUNDUK FELDA UNITED UNTUK KEKAL REKOD KEMENANGAN BERSIH

2017-03-12

Melaka terus cemerlang mengekalkan rekod kemenangan seratus peratus selepas tujuh perlawanan kategori lelaki Liga Futsal Kebangsaan (LFK) 2017 apabila berjaya menewaskan juara bertahan, Felda United 4-2 pada hari kedua Sirkit 4 di Stadium SUKPA, Kuantan, hari ini.

 Kemenangan ketujuh berturut skuad kendalian Mohamad I'sah Abd Rahim itu membolehkan mereka menjarakkan jurang mata di tangga teratas selepas pencabar terdekat, Pahang sekadar seri 4-4 dengan pasukan tangga kelima, KL City FC tatkala Felda United pula mengalami kekalahan kedua.

 "Tahniah kepada para pemain yang beraksi dengan cukup berdisiplin. Saya bangga dengan prestasi mereka yang semakin meningkat dari hari ke hari.

 "Untuk mengharungi baki sembilan lagi perlawanan, kami tetap akan merendah diri dan tidak leka dengan ancaman pasukan-pasukan yang dianggap kerdil kerana mereka mampu membuat kejutan dan itu berlaku kepada beberapa pasukan pilihan lain.

 "Apa yang perlu kami lakukan ialah kekal konsisten untuk mengutip mata maksimum pada baki saingan selepas ini bagi mengekalkan kedudukan di tangga teratas ini," kata Mohamad I'sah ketika ditemui selepas perlawanan, petang tadi.

 Selepas tujuh perlawanan, Melaka terus unggul di tangga teratas dengan 21 mata diikuti Pahang 16 mata dan Felda United 15 mata.

 "Saya rasa kedua-dua pasukan cukup bersedia untuk bertembung pada perlawanan ini. Apabila masing-masing melakukan kesilapan, lawan dapat menjaringkan gol.

 "Saya menerima kekalahan ini tetapi kecewa dari segi keputusan pengadil yang nampak tidak memihak kepada kedua-dua pasukan. Bagi perlawanan seperti ini, kita perlu pengadil yang berpengalaman untuk mengendalikannya.

 "Bukan mahu menyalahkan pengadil tetapi beberapa keputusan beliau sedikit sebanyak telah mengganggu perjalanan perlawanan.

 "Apa pun kami akan terus cuba mengutip sebanyak mata sebelum bertemu Melaka sekali lagi. Macam-macam boleh berlaku pada baki sembilan perlawanan selepas ini. Perjalanan masih jauh," kata jurulatih Felda United, Addie Azwan Zainal ketika ditemui selepas perlawanan, petang tadi.

 Sementara itu, Perak berjaya mengukuhkan kedudukan di tangga keempat selepas berjaya meraih kemenangan keempat dengan menewaskan KL Petaling Putra FC 8-5 untuk mengumpul 12 mata sambil KL Petaling Putra pula terpaksa turun ke tangga kelapan.

 Satu lagi perlawanan menyaksikan Kuala Lumpur TPD berjaya memperoleh kemenangan kedua dengan menewaskan T-Team 5-3 untuk memperbaiki dari kedudukan tercorot ke tangga keenam menggantikan T-Team yang turun ke tangga ketujuh.

 Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang tidak beraksi hari ini turun ke tangga tercorot.

 Sirkit 5 selepas ini akan turut berlangsung di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan pada 18 dan 19 Mac ini membabitkan kategori lelaki dan wanita.

 

KEPUTUSAN HARI KEDUA SIRKIT 4

 

T-TEAM 3

Zulkarnain Abdul Majid 24'

Alif Shafiq Suhaimi 35' 37'

KUALA LUMPUR TPD 5

Dzulkamal Ariffin Md Ruzi 20'

Mohd Zahrin Ismail 25'

Muhammad Zuhairi Faiz Fizal 26'

Dhiyaul Mohamad Ezdiaq Dawari 30'

Muhammad Aliff Mohd Roslan 34'

 

KL CITY FC 4

A Kissheen 20' 39' 40'

K Yakish Rao 37'

PAHANG 4

Akmarulnizam Mohd Idris 12'

Ahmad Shazni Hariz Mohd Noor 23'

Ahmad Hanafi Mohd Nasir 29'

Muhammad Akmal Hakimi Mohd Naim 36'

 

KL PETALING PUTRA FC 5

Azrin Hezry Zainol 15'

Syurkery Mohamed 23' 31'

Nur Asrul Affendi Hamdan 26'

Mohamad Ammar Syafiq Jamaludin 29'

PERAK 8

Mohd Ridhwan Zainal 4' 30' 38'

Muhammad Firdaus Zulkefli 17'

Mohamad Afendi Bonyamin 24' 40'

Muhammad Faizul Azuan Ramli Sharip 26' 39'

 

MELAKA 4

Firdaus Ambiah 19'

Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin 21'

Muhammad Awaluddin Hassan 23'

Saiful Aula Ahmad 39'

FELDA UNITED 2

Muhammad Akmal Yazadh Amri 32'

Syed Aizad Daniel Syed Nasir 37'