LFK 2017: PAHANG, FELDA UNITED TERUS HIMPIT MELAKA DI TANGGA TERATAS

2017-03-11

Melaka terus unggul di tangga teratas kategori lelaki Liga Futsal Kebangsaan (LFK) 2017 selepas berjaya mengekalkan rekod kemenangan bersih enam perlawanan berturut apabila menewaskan KL Petaling Putra FC 6-2 pada hari pertama Sirkit 4 di Stadium SUKPA, Kuantan, hari ini.

Dengan 18 mata maksimum diraih setakat ini, Melaka kendalian Mohamad I'sah Abd Rahim bagaimanapun terus dihimpit Pahang dan Felda United apabila masing-masing turut berjaya meraih kemenangan untuk mengumpul 15 mata menerusi lima kemenangan dan sekali tewas.

"Saya telah pesan kepada para pemain supaya berhati-hati dan jangan leka apabila berdepan pasukan seperti KL Petaling Putra ini yang bila-bila masa boleh membuat kejutan. Alhamdulillah pemain berjaya melakukannya dan apabila kita dapat menambah gol, lawan jadi semakin tertekan.

 "Untuk pertembungan penting dengan Felda United esok, saya akan buat sedikit rombakan, mungkin dari segi taktikal supaya kami dapat memperkemas beberapa kelemahan ketara dalam perlawanan tadi. Harap perancangan kami menjadi dan saya jangka pasti satu perlawanan yang sengit," kata Mohamad I'sah ketika ditemui selepas perlawanan, petang tadi.

 Sementara itu, Pahang bimbingan Yazeed Hamzah berjaya bangkit daripada ketinggalan dengan menjaringkan dua gol pada penghujung permainan untuk menewaskan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) 3-2.

 Juara bertahan, Felda United kendalian Addie Azwan Zainal pula tidak menghadapi masalah menundukkan KL City FC 6-3 untuk kekal di tangga ketiga dengan dipisahkan perbezaan gol berbanding Pahang di tangga kedua.

 "Alhamdulillah kami dapat memenangi juga perlawanan ini. Tapi saya tetap tak puas hati kerana kami banyak mempersiakan peluang terhidang. Mujur pada penghujung permainan kami berjaya juga dapat dua gol untuk meraih kemenangan.

 "Mungkin faktor rehat dua minggu selepas Sirkit 3 dan ini pertama kali kami beraksi perlawanan sebelah pagi. Apa pun saya mahu pemain kembali fokus untuk menghadapi KL City FC esok kerana kami sasar enam mata untuk Sirkit 4 ini," kata Yazeed ketika ditemui selepas perlawanan, pagi tadi.

 Satu lagi perlawanan menyaksikan Perak naik satu anak tangga ke kedudukan keempat untuk mengambil alih tempat KL City FC selepas mereka berjaya menewaskan pasukan tangga keenam, T-Team 6-2.

 Pasukan tercorot, Kuala Lumpur TPD tidak beraksi hari ini.

 Sirkit 4 akan bersambung esok dengan empat lagi perlawanan bakal berlangsung menyaksikan T-Team lwn Kuala Lumpur TPD (11 pagi), KL City FC lwn Pahang (12.30 tgh hari), KL Petaling Putra FC lwn Perak (2 petang) dan pertembungan menarik Melaka lwn Felda United (3.30 petang).

 Kategori wanita yang berlangsung pada Sirkit 1 dan Sirkit 3 sebelum ini tidak dipertandingkan pada Sirkit 4, minggu ini dan hanya akan kembali pada Sirkit 5 pada 18 dan 19 Mac ini.

 

KEPUTUSAN HARI PERTAMA SIRKIT 4:

 

MBPP 2

Zubaidi Alwee 14' 25'

PAHANG 3

Ahmad Shazni Hariz Mohd Noor 10'

Mohd Hanafi Mohd Naser 37'

Muhammad Fariq Mohammad 38'

 

T-TEAM 2

Syed Shahrul Niezam Syed Abd Rahim 5'

Zulkarnain Abdul Majid 31'

PERAK 6

Badruzzaman Tahir 27'

Noor Badruzzaman Noor Azlan 31'

Ridhwan Zainal 31' 33'

Muhammad Faizul Azuan Ramli Sharip 38'

Mohd Syarul Nizam Ag Hassan 38'

 

KL CITY FC 3

Hazizi Mansor 8'

K Yakish Rao 34'

Muhammad Muzhaffar Mohd Tahar 39'

FELDA UNITED 6

Mohd Faisal Saharudin 12' 30' 38'

Muhamad Fitri Muhamad Yatim 17'

Syed Aizad Daniel Syed Nasir 23'

Mohd Azwann Ismail 36'

 

KL PETALING PUTRA 2

Muhammad Khairi Abadi Azman 13' 36'

MELAKA 6

Saiful Nizam Mohamad Ali 4'

Firdaus Ambiah 9' 14'

Abu Haniffa Hasan 33'

Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin 35'

Ali Imran Hasan 39'