MAJLIS PERASMIAN & PELANCARAN LOGO RASMI LIGA PREMIER FUTSAL MALAYSIA (MPFL) 2019

2019-02-18

Majlis memperkenalkan saingan liga futsal profesional kebangsaan yang julung kalinya dianjurkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ini telah berlangsung semalam di Hotel Concorde, Shah Alam.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Presiden FAM, Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin bersama-sama Naib Presiden FAM, Datuk Rosmadi Haji Ismail selaku Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bolasepak Pantai FAM dan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Sebagai langkah permulaan untuk edisi sulung 2019 ini yang dijadualkan berlangsung mulai April depan, 10 pasukan kategori lelaki dan 5 pasukan kategori wanita bakal bersaing selama enam bulan bagi mencabar dan merebut kejuaraan futsal paling berprestij di Malaysia.

Kategori lelaki membarisi pasukan Kedah, KL City, Kuala Lumpur, Melaka, Pahang, Perak, Perlis, Sarawak, Selangor dan Terengganu manakala kategori wanita dibarisi pasukan Kedah, Kuala Lumpur, Perak, Perlis dan Selangor.

Selepas 11 edisi Liga Futsal Kebangsaan (LFK) dilangsungkan secara karnival sejak dari tahun 2004, konsep pertandingan tertinggi futsal kebangsaan ini akan diberi penambahbaikan dengan format Round Robin dan akan beroperasi menerusi sistem bermain di laman sendiri serta di rumah lawan.

Aspek Pelesenan Kelab turut akan diperkenalkan dalam edisi pertama bagi memastikan struktur organisasi lebih kukuh buat pasukan dalam sudut kesukanan, infrastruktur, kakitangan & pentadbiran, undang-undang dan kriteria kewangan. Pelaksanaan aspek ini amat penting kerana ia akan melayakkan kelab dari Malaysia beraksi dalam saingan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Lagi gambar Majlis Perasmian & Pelancaran Logo Rasmi Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2019 di bit.ly/2GtTJu3