Malaysia (Bawah 23) 3-1 FC Ryukyu

Skuad Malaysia B23 mendapat suntikan semangat sebelum memulakan perjuangan pada Sukan SEA 2013 di Myanmar minggu depan.

Rabu, mereka tampil bergaya untuk menewaskan FC Ryukyu 3-1 pada aksi persahabatan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan ia dianggap sebagai pencetus semangat sebelum mereka berlepas ke bumi Myanmar.

Penyerang Harimau Muda A, Md Rozaimi Abd Rahman muncul wira pasukan apabila berjaya meledak dua gol pada perlawanan tersebut.

Biarpun menyaksikan pasukan bawah 23 tahun (B-23) negara itu ketinggalan satu gol awal menerusi jaringan penyerang pasukan lawan, Takashi Shunta seawal minit ke-14, namun skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee tetap berjaya mempamerkan persembahan bertenaga.

Kebangkitan Malaysia Bawah 23 bermula apabila penyerang, A. Thamil Arasu menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-47.

Berselang tiga minit kemudian, juara bertahan acara bola sepak Sukan SEA itu terus menghukum kerapuhan kelab Jepun itu apabila Rozaimi menjadikan kedudukan 2-1.

Bintang dalam pembikinan dari Sabah itu melengkapkan kemenangan Malaysia Bawah 23 apabila menjaringkan gol ketiga pada masa kecederaan.

Selepas aksi persahabatan terakhir itu, Malaysia Bawah 23 akan berlepas ke Myanmar pada Sabtu ini. – KOSMO

J Category: 
article/latest-news