
2016-09-23
Skuad B-16 negara kendalian P Somasundram gagal melangkah ke suku akhir Kejuaraan B-16 AFC 2016 selepas tewas 3-0 kepada Korea Selatan pada perlawanan terakhir Kumpulan C di Stadium Pandit Jawaharlal Nehru, Goa, India, malam tadi.
Korea Selatan mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menerusi Park Jeong-in pada minit ke-4 dan sepakan penalti Cheon Seong-hoon minit ke-14 sebelum menambah satu lagi jaringan pada babak kedua menerusi ketua pasukan, Ko Jun-hee minit ke-84.
Namun malang buat Korea Selatan apabila mereka turut gagal ke suku akhir selepas satu lagi perlawanan menyaksikan Oman berjaya memperoleh jaringan lewat untuk mengikat Iraq 1-1.
Selepas berakhir tiga perlawanan, Oman di tangga teratas dengan 5 mata diikuti Iraq (5), Korea Selatan (4) dan Malaysia (1).
Terdahulu, Malaysia memulakan kempen dengan tewas 3-0 kepada Oman pada 16 September sebelum berjaya mengikat Iraq 1-1 pada aksi kedua, 19 September lalu.
KREDIT FOTO: AFC
KOMEN JURULATIH MALAYSIA B-16, P SOMASUNDRAM:
"Bagi saya, aksi kami pada perlawanan ini lebih baik berbanding dua perlawanan terdahulu. Banyak peningkatan ditunjukkan para pemain tetapi kami dibolosi dua gol awal yang menyukarkan kami untuk kembali bangkit. Kami sudah cuba yang terbaik tetapi ia terlalu sukar.
"Dalam saingan Kumpulan C ini, kami merupakan pasukan underdog dan semua mengetahuinya. Jadi kami perlu berjuang habis-habisan.
"Secara keseluruhan, kami perlu melakukan banyak lagi penambahbaikan kerana hal ini begitu ketara dilihat ketika kami berdepan pasukan dari Asia Barat dan Asia Timur.
"Tapi secara peribadi saya berpendapat yang kami sepatutnya mampu mencatat keputusan seri dalam perlawanan ini. Selepas ketinggalan 2-0, kami memperoleh beberapa peluang terbaik pada babak kedua tetapi gagal disempurnakan."
SENARAI 23 PEMAIN SKUAD MALAYSIA B-16:
1 FIRDAUS IMRAN FADHIL (GK)
2 ARHAM KHUSSYAIRI AB WAHAB
3 AZRIN AZAHARI
4 ZAINUL ARIFIN AHMAD LATIFI
5 ABDUL HADI HASBOLLAH
6 HARZANHAFIZ HAZLIZANIZAN AHWAL
7 MUHAMMAD ALIF SAFWAN SALLAHUDDIN
8 AMIRUL FAZLY MOHD ZAMRI
9 ARIF SHAQIRIN SUHAIMI
10 ALIFF HAIQAL LOKMAN HAKIM LAU
11 MUHAMMAD NIZARRUDDIN JAZI
12 MOHAMAD NAJMI IDHAM JOHAN
13 MUHAMAD AIMAN MOHD ZAIDI
14 MUHAMMAD AMIRUL HUSAINI ZAMRI
15 MOHAMAD KHUSSAINI ADLI MOHD YUSOF
16 MUHAMMAD IZREEN IZWANDY
17 XSEVIER XCICO FELEX
18 MUHAMAD FEROZ BAHARUDIN (C)
19 NOR AMIRUL AWANG
20 MUHAMMAD A'SIF MASZARRY
21 AIDILMIRZA DARWISY MAZHISAM (GK)
22 MUHAMMAD RAFIQ KAMARUDDIN (GK)
23 MUHAMMAD IQBAL HAKEM MOHD HATA