MALAYSIA MUNCUL NAIB JUARA PIALA SUZUKI AFF 2018

2018-12-16

Skuad kebangsaan, Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2018 selepas tewas 1-0 kepada Vietnam pada Final 2 di Stadium My Dinh, Hanoi, malam tadi. (Ringkasan perlawanan di SINI)

Kekalahan tipis kepada skuad Park Hang Seo itu menyaksikan Malaysia gagal meraih kejuaraan kedua selepas 2010 apabila tewas agregat 3-2 selepas mengikat Vietnam 2-2 pada Final 1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 11 Disember lalu. (Ringkasan perlawanan di SINI)

Terdahulu, Malaysia berjaya mara ke final buat kali keempat selepas menyingkirkan juara bertahan, Thailand pada separuh akhir menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas terikat agregat 2-2.

Malaysia mengikat Thailand 0-0 pada Separuh Akhir 1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 1 Disember. (Ringkasan perlawanan di SINI)

Pada Separuh Akhir 2 di Stadium Rajamangala, Bangkok, 5 Disember, Malaysia bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk mencatat keputusan seri 2-2 selepas sepakan penalti Adisak Kraisorn pada masa kecederaan melewati palang gol. (Ringkasan perlawanan di SINI)

Malaysia sebelum itu layak ke separuh akhir selepas menduduki tangga kedua Kumpulan A di belakang Vietnam menerusi tiga kemenangan dan sekali tewas untuk mengumpul sembilan mata, satu mata di belakang Vietnam untuk menyingkirkan Myanmar, Kemboja dan Laos, masing-masing di tangga ketiga hingga kelima.

Sementara Kumpulan B pula diungguli Thailand di tangga teratas diikuti Filipina, Singapura, Indonesia dan Timor-Leste. Vietnam mara ke final selepas menyingkirkan Filipina menerusi agregat 4-2 pada separuh akhir.

Kempen Malaysia kali ini bermula dengan kemenangan 1-0 ke atas Kemboja pada aksi sulung Kumpulan A di Stadium Olimpik, Phnom Penh pada 8 November. (Ringkasan perlawanan di SINI)

Malaysia kemudian meraih kemenangan kedua berturut menewaskan Laos 3-1 pada aksi kedua Kumpulan A di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 12 November. (Ringkasan perlawanan di SINI)

Namun Malaysia gagal meneruskan rentak cemerlang itu apabila tewas 2-0 kepada Vietnam pada perlawanan ketiga Kumpulan A di Stadium My Dinh, Hanoi pada 16 November. (Ringkasan perlawanan di SINI)

Hanya tiga mata penuh pada aksi terakhir bertemu Myanmar bakal membawa Malaysia mengiringi Vietnam ke separuh akhir dan Malaysia akhirnya berjaya mencatat kemenangan bergaya 3-0 ke atas Myanmar di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 24 November. (Ringkasan perlawanan di SINI)

Selain muncul sebagai naib juara edisi ke-12 ini, Malaysia turut dipilih untuk memenangi anugerah Fair Play selain penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha berjaya menduduki tangga kedua dalam senarai penjaring terbanyak dengan lima gol, di belakang pemenang Kasut Emas, Adisak Kraisorn dari Thailand dengan lapan gol.

 

SKUAD 23 PEMAIN MALAYSIA KE PIALA SUZUKI AFF 2018:

1. Farizal Marlias (GK), 2. Amirul Azhan Aznan, 3. Shahrul Saad, 4. Syahmi Safari, 5. Adam Nor Azlin, 6. Syazwan Andik Ishak, 7. Aidil Zafuan Abd Radzak, 8. Zaquan Adha Abd Radzak (C), 9. Norshahrul Idlan Talaha, 10. Shahrel Fikri Md Fauzi, 11. Safawi Rasid, 12. Akram Mahinan, 13. Mohamadou Sumareh, 14. Syamer Kutty Abba, 15. Kenny Pallraj, 16. Syazwan Zainon, 17. Irfan Zakaria, 18. Syafiq Ahmad, 19. Akhyar Rashid, 20. Ahmad Hazwan Bakri, 21. Nazirul Naim Che Hashim, 22. Khairul Fahmi Che Mat (GK), 23. Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (GK).

 

KREDIT FOTO: www.affsuzukicup.com