MOHD FAIZ SUBRI MENANG ANUGERAH PUSKAS FIFA 2016

2017-01-10

"Assalamualaikum. Alhamdulillah berkat daripada-Nya saya telah diberikan anugerah berprestij ini.

 "Jujurnya, ia tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk berada pada tahap ini dan berpeluang untuk berdiri sama tinggi di kalangan pemain-pemain bola sepak bertaraf dunia di tempat yang menakjubkan ini.

 "Di sini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Pulau Pinang, rakan sepasukan, jurulatih, staf, PFAM, FAM.

 "Keluarga saya, Norzawanis (isteri), Akif Fayyadh (anak sulung), Aqil Zayyan (anak kedua), bapa saya Subri Kader, ibu saya Saadiah Ishak dan semua yang telah mengundi saya. Terima kasih. Assalamualaikum."

 Demikian ucapan pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri, 30, ketika di atas pentas majlis Anugerah Bola Sepak FIFA #TheBest 2016 di Zurich, Switzerland, awal pagi ini selepas namanya diumumkan sebagai pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016.

 Mohd Faiz menerima anugerah berkenaan daripada bekas bintang bola sepak Brazil, Ronaldo.

 Jaringan Mohd Faiz ketika membantu pasukannya Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 pada perlawanan Liga Super 2016 di Stadium Bandaraya, 16 Februari 2016 itu telah mendapat undian tertinggi sebanyak 59.46 % untuk mengatasi dua pencabarnya, Marlone (Corinthians-Brazil) dengan 22.86 % dan Daniuska Rodriguez (skuad wanita B-17 Venezuela) dengan 10.01 %.

 Baki 7.68 % undian dimiliki kalangan tujuh pemain lain yang terdahulu berada dalam senarai 10 pencalonan awal anugerah gol tercantik dunia itu, antaranya termasuk jaringan Lionel Messi dan Neymar.

 Mohd Faiz merupakan pemenang kelapan Anugerah Puskas FIFA yang sebelum ini pernah dimenangi Cristiano Ronaldo (Portugal) pada 2009, Hamit Altintop (Turki) pada 2010, Neymar (Brazil) pada 2011, Miroslav Stoch (Slovakia) pada 2012, Zlatan Ibrahimovic (Sweden) pada 2013, James Rodriguez (Colombia) pada 2014 dan Wendell Lira (Brazil) pada 2015.

 Ia sekali gus menjadikan Mohd Faiz sebagai pemain pertama dari Asia dan juga Malaysia berjaya memenangi anugerah berkenaan.

 Mohd Faiz, isteri dan dua anaknya akan berlepas pulang dari Zurich pada jam 9.35 malam ini (waktu Malaysia) dan dijangka tiba di KLIA, Sepang pada jam 3.15 petang Rabu (11 Januari 2017) sebelum meneruskan penerbangan pulang ke Pulau Pinang.

 

KREDIT FOTO: Facebook FIFA Football Awards

 

VIDEO FAIZ SUBRI TERIMA ANUGERAH: https://youtu.be/zokLCs4LXMo

VIDEO GOL-GOL 3 CALON AKHIR: https://youtu.be/snJRLqVuZ9g