Pahang jarak lima mata di persada Liga Super

Pahang terus selesa di tangga teratas Liga Super selepas meraih tiga mata penuh menewaskan Sarawak 3-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.
 
 Ini kerana, pasukan tangga kedua yang juga juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak beraksi selepas perlawanan bertemu Selangor telah dipinda ke Isnin depan (13 Julai) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
 
 Perak bagaimanapun gagal menggunakan kesempatan itu apabila terus kekal di tangga ketiga selepas tewas 2-1 kepada Lions XII di Stadium Jalan Besar, Singapura.
 
 Felda United FC pula berjaya memintas kedudukan Selangor di tangga keempat selepas mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas pasukan kedua tercorot, ATM di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
 
 Lima kedudukan teratas selepas 15 perlawanan menyaksikan Pahang kekal di tangga teratas dengan 33 mata diikuti JDT 28 mata, Perak 27 mata, Felda United FC 25 mata dan Selangor 24 mata. Namun JDT dan Selangor kurang satu perlawanan.
 
 PDRM pula turun satu anak tangga apabila terpaksa merelakan kedudukan mereka di tangga keenam sebelum ini dirampas Lions XII selepas tewas 3-1 kepada Kelantan di Stadium Shah Alam.
 
 Pasukan tercorot, Sime Darby FC terus kempunan untuk meraih kemenangan sulung musim ini selepas tewas 2-0 kepada pasukan tangga kelapan, Terengganu di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
 
 Saingan Liga Super berehat untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri dan perlawanan ke-16 hanya akan disambung pada 1 Ogos.
 
 Namun, Kelantan perlu turun padang lebih awal untuk menyelesaikan dua perlawanan di tempat sendiri yang ditangguhkan sepanjang Ramadan ini iaitu bertemu Sime Darby pada 25 Julai dan bertemu ATM pada 28 Julai ini.
 
 
KEPUTUSAN MALAM TADI:
 
PAHANG 3
Zesh Rehman m-21,
Dickson Nwakaeme m-70,
Azammuddin Akil m-79
SARAWAK 1
Joseph Kalang Tie m-64
 
LIONS XII 2
Hafiz Abu Sujad m-45,
Safuwan Baharudin m-52
PERAK 1
Namkung Woong m-12
 
ATM 0
FELDA UNITED FC 4
Indra Putra Mahayuddin m-67 (P), m-83 & m-86,
Zah Rahan Krangar m-88
 
PDRM 1
Faizal Abu Bakar m-73
KELANTAN 3
Austin Amutu m-5,
Jonathan McKain m-45+3,
Erwin Carrillo m-67
 
SIME DARBY FC 0
TERENGGANU 2
Ashari Samsudin m-26 & m-79
J Category: 
uncategorised6