Pahang Juara Piala Malaysia 2013

Pahang berjaya menjulang Piala Malaysia dan menamatkan penantian selama 21 tahun apabila mengalahkan juara bertahan Kelantan 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam di sini, malam Ahad (3 November 2013).

Penyerang import dari Argentina, Matias Ruben Conti muncul wira skuad Tok Gajah selepas menyumbat gol tunggal menerusi tandukan pada minit ke-58 selepas memanfaatkan hantaran daripada Azamuddin Mohd Akil.

Kemenangan ini menamatkan kemarau Pahang selama 21 tahun untuk menjulang Piala Malaysia dan merupakan kejayaan ketiga Pahang merangkul piala berprestij itu selepas tahun 1983 dan 1992.

Pada perlawanan tersebut juga menyaksikan penyerang pasukan Pahang, Azamuddin Mohd Akil atau lebih dikenali sebagai Alex dinobatkan sebagai pemain terbaik final Piala Malaysia 2013.

Di hadapan 85,000 penonton yang membanjiri stadium, anak-anak buah Dollah Salleh sewajarnya layak dinobat sebagai juara berdasarkan aksi yang lebih berkualiti dengan penguasaan di bahagian tengah dikemudi pemain berbakat besar, Azamuddin Akil dan Mohd. Amirulhadi Zainal.

Perlawanan itu bagaikan mengulangi keputusan 1-0 ketika mereka menang ke atas Kedah pada tahun 1992 dan lebih menggembirakan kali ini, mereka hanya dilabel sebagai underdog untuk menang tetapi berupaya mengejutkan Kelantan yang jauh lebih berpengalaman.

Selain Conti dan Azamuddin yang layak dilabel sebagai wira pasukan, aksi cemerlang yang dipamerkan oleh penjaga gol muda, Khairul Azhan Mohd. Khalid wajar diberikan pujian apabila menafikan banyak peluang The Red Warriors terutama pada penghujung permainan apabila menyelamatkan percubaan Mohd. Nor Farhan.

Kelantan yang dianggap pilihan untuk memenangi perlawanan ini mempamerkan aksi yang tidak begitu bermaya dengan kelibat ketua pasukan, Mohd. Badhri Mohd. Radzi tenggelam manakala Indra Putra Mahayuddin dan Mohd. Norfarhan Muhammad tidak dibiarkan bebas di bahagian sayap.

Ketiadaan Obinna Nwaneri di pertahanan jelas mengundang masalah apabila gandingan Nik Shahrul Mohd. Azim dan Azizi Matt Rose tidak mampu mengekang kelincahan Conti dan Azamuddin yang acap kali dapat melepaskan diri ke dalam kotak penalti The Red Warriorrs.

Permainan antara kedua-dua pasukan seperti kurang bernyawa pada babak pertama ekoran hujan lebat sebelum perlawanan bermula yang banyak merencatkan pergerakan bola.

Taktikal Dollah meletakkan Azamuddin di bahagian sayap kanan menggantikan Surendran selain memasukkan Mohd. Fauzi Roslan begitu menjadi dengan pemain kelahiran Kampung Relong, Kuala Lipis itu menjadi punca kepada gol sulung Pahang.

Selepas berjaya melepasi kawalan Zairul Fitree, hantaran silangnya berjaya menemui Matias Conti yang begitu bergaya menanduk masuk ke dalam gawang Kelantan bagi memastikan Pahang memimpin perlawanan pada minit ke-58 dan menggembirakan kira-kira 40,000 penyokong setia Tok Gajah yang hadir.

 

J Category: 
uncategorised6