Panggilan Skuad Harimau Malaya bagi Pusingan Pertama Kelayakan Piala Dunia

Persatuan Bolasepak Malaysia dengan ini mengumumkan bahawa senarai panggilan pemain-pemain skuad kebangsaan bagi pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2018 akan dibuat pada pertengahan bulan Mei dengan jangkaan pangilan seramai 30 orang pemain.
 
Latihan Pusat akan dijalankan sehingga perlawanan pertama pusingan kelayakan iaitu menentang Timor Leste (11 Jun 2015) sebelum menentang Palestin (16 Jun 2015).
 
Beberapa siri perlawanan persahabatan juga akan diadakan sepanjang tempoh Latihan Pusat ini termasuklah perlawanan persahabatan menentang kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Tottenham Hotspur yang telah dijadualkan pada 27 Mei ini.
 
Perlawanan menentang kelab EPL tersebut juga bakal menjadi platform bagi ketua jurulatih skuad kebangsaan, Dollah Salleh untuk menguji dan memberi pendedahan kepada pemain-pemain baharu di arena antarabangsa tanpa menjejaskan sistem mata FIFA.
 
Pasukan pilihan Malaysia juga berkemungkinan besar akan menampilkan beberapa pemain jemputan asing dari Liga Malaysia kerana pemain-pemain utama kebangsaan dari Johor Darul Ta’zim dan Pahang tidak dapat diturunkan di atas sebab terlibat dalam pusingan kalah mati Piala AFC. Kehadiran pemain jemputan asing ini dilihat mampu memberi bimbingan kepada pemain-pemain baharu pasukan kebangsaan.
 
FAM sedang berusaha untuk memperbaiki persepsi keupayaan pasukan kebangsaan di mata dunia dengan mempertingkatkan ranking FIFA melalui kerjasama-pengurusan pasukan kebangsaan bersama Pengarah Teknikal,  Fritz Schmid.
J Category: 
article/latest-news