PDRM buru final ketujuh berturut Piala Tun Sharifah Rodziah

Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhasrat meneruskan rentak konsisten mereka sepanjang enam edisi terdahulu apabila kejohanan bola sepak wanita Piala Tun Sharifah Rodziah 2015 membuka tirai saingannya, Ahad ini (2 Ogos).
 
 Sepanjang enam edisi terakhir kejohanan - 1998, 1999, 2000, 2002, 2003 dan 2004, PDRM berjaya layak ke final dengan tiga kali muncul juara - 1999, 2000 dan 2002. PDRM beraksi kali pertama di final pada 1994 tetapi tewas kepada Sabah.
 
 Ketua jurulatih PDRM, Omar Hamzah berkata, sasaran pasukannya kali ini tetap untuk mara ke final, 8 Ogos ini pada kejohanan edisi ke-28 yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Institut Latihan Kehakiman & Perundangan (ILKAP), Bandar Baru Bangi.
 
 "Sudah tentu sasaran PDRM untuk sekali lagi melangkah ke final seperti mana yang telah kami lakukan sepanjang enam edisi berturut sebelum ini. Tapi kalau boleh, kami cuba untuk menjadi juara selepas kali terakhir melakukannya pada 2002.
 
 "Dari segi kekuatan pasukan, kami biarpun hanya dibarisi tiga pemain kebangsaan tetapi dengan kehadiran beberapa pemain luar yang kini menjadi anggota PDRM membuatkan pasukan kami lebih kuat pada tahun ini.
 
 "Persiapan pasukan juga sudah dilakukan sejak dari bulan Ramadan dan terbaharu pada Isnin lalu, kami berjaya menewaskan ATM 4-0 pada aksi persahabatan terakhir menjelang kejohanan," kata Omar kepada www.fam.org.my, hari ini.
 
 Antara pemain dipertaruhkan PDRM kali ini ialah Angela Kais, 35, Norhanisa Yahya, 26, Malini Nordin, 30, Masyita Tajib, 26, Lovelytha Jelus, 24 serta penjaga gol, Nur Atiqa Lilia Abdullah, 43.
 
 Selepas 11 tahun menyepi, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil inisiatif untuk menghidupkan semula kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah tahun ini bagi edisi kali ke-28.
 
 Sebanyak 10 pasukan menyertai kejohanan edisi 2015 ini iaitu PDRM, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, ATM dan pendatang baharu, Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bolasepak India Malaysia (MISC-MIFA).
 
 Tambah Omar: "Apa pun kami perlu menunggu terlebih dahulu keputusan undian peringkat kumpulan kerana ia penting untuk mengetahui bagaimana laluan dan hala tuju pasukan pada kejohanan kali ini.
 
 "Sabah tetap kami anggap sebagai antara pencabar utama kerana pemain mereka sentiasa bagus terutama dari segi kepantasan. Apa pun apabila kejohanan bermula nanti, baru kita boleh tahu kekuatan setiap pasukan."
 
 Majlis undian Piala Tun Sharifah Rodziah 2015 akan diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya, Jumaat ini (31 Julai) untuk menentukan lima pasukan berada dalam Kumpulan A dan lima pasukan bagi Kumpulan B dengan aksi peringkat kumpulan dijadual dari 2 hingga 6 Ogos.
 
 Dua pasukan teratas Kumpulan A dan B bakal bertembung di separuh akhir pada 7 Ogos dan final dijadual pada 8 Ogos di Stadium Mini ILKAP.
J Category: 
article/women-s-football