Pendahulu Liga Premier, T-Team diikat Pulau Pinang

T-Team gagal melebarkan jurang mata di kedudukan teratas Liga Premier selepas sekadar seri 1-1 dengan Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, malam tadi, sekali gus menamatkan rekod 10 kemenangan berturut-turut.
 
 Dengan keputusan seri itu, Kedah pula berjaya memintas kedudukan tangga kedua daripada Pulau Pinang selepas menewaskan Kuantan FA 3-2 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
 
 Selepas 14 perlawanan, kedudukan tiga tangga teratas menyaksikan T-Team kini mengumpul 33 mata diikuti Kedah dengan 31 mata dan Pulau Pinang 29 mata.
 
 Sabah kekal di tangga keempat dengan 26 mata selepas tewas 2-1 kepada DRB Hicom di Stadium Hang Jebat diikuti PKNS FC yang menang 4-0 ke atas Kuala Lumpur di gelanggang sama, Rabu lalu untuk mengumpul 23 mata.
 
 Johor Darul Ta'zim II naik satu kedudukan ke tangga keenam selepas menewaskan KL SPA Putrajaya FC 1-0 di Stadium Pasir Gudang untuk memintas kedudukan Negeri Sembilan yang sekadar seri 2-2 dengan UiTM FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
 
 Dua pasukan kekal di zon penyingkiran iaitu Kuantan FA dengan lapan mata dan KL SPA Putrajaya FC dengan dua mata.
 
 Perlawanan ke-15 akan berlangsung Selasa ini (7 Julai) sebelum saingan berehat untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri dan disambung semula bagi perlawanan ke-16 pada 31 Julai ini.
 
 
KEPUTUSAN MALAM TADI:
 
PULAU PINANG 1
Hilton Moreira m-23
T-TEAM 1
Farhod Tadjiyev m-31 (P)
 
KEDAH 3
Syafiq Ahmad m-13 & m-17,
Liridon Krasniqi m-57
KUANTAN FA 2
Zamri Hassan m-73 (P),
Fabrice Noel m-79
 
DRB HICOM FC 2
Ivan Babic m-9,
Fakhrul Aiman Sidid m-33
SABAH 1
El Hadji Diouf m-63 (P)
 
JOHOR DARUL TA'ZIM II 1
Irfan Fazail m-85
KL SPA PUTRAJAYA FC 0
 
UITM FC 2
Dao Bakary m-21 (P),
Abdi Kasim Sadallah m-26
NEGERI SEMBILAN 2
Francis Forkey Doe m-82 (P),
Rezal Zambery Yahya m-86
 
KEPUTUSAN RABU LALU:
 
PKNS FC 4
Gabriel Guerra m-15,
Patrick Ronaldinho Wleh m-60,
Faiz Isa m-72,
Farderin Kadir m-90+2
KUALA LUMPUR 0
J Category: 
uncategorised6