PERLAWANAN AMAL: DUGONG ALL STARS 1-3 PILIHAN HARIMAU MALAYSIA

2016-09-17

Pasukan Pilihan Harimau Malaysia muncul juara Perlawanan Amal Hari Malaysia 2016 selepas berjaya menewaskan pasukan Dugong All Stars 3-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan, petang semalam.

 Pilihan Harimau Malaysia di bawah kendalian jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee membariskan bekas-bekas legenda bola sepak negara antaranya Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh, Dollah Salleh dan Khalid Ali.

 Turut beraksi, beberapa lagi bekas pemain kebangsaan seperti Lim Chan Yew, K Sanbagamaran, Annuar Abu Bakar, Shahril Arsat, Shahrin Majid dan Nizaruddin Yusof.

 B Sathianathan, Yap Kam Choon, Abdul Hadi Tahir, Shamsul Amri Abu Bakar, Chow Chee Weng, Yuzaiman Zahari, Talib Sulaiman, Ho Hong Seong dan Hassan Sazali Waras juga diturunkan bersama-sama dua import dari Australia, Mehmet Durakovic dan Bradley Maloney serta bekas penolong pengurus skuad Harimau Muda, Dato' Halim Muazzam Ayob.

 Sementara pasukan Dugong All Stars kendalian bekas penyerang kebangsaan, Azman Adnan pula menampilkan penyampai ERA fm, Johan, Ray dan Radin serta artis-artis tempatan antaranya Akim, Atu, Tomok, Achey, Mamak Puteh, Black, Kamal Adli dan Kecik Hyperact.

 Bekas pemain pertahanan kebangsaan, Nidzam Jamil, bekas pemain tengah Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang, Azidan Sarudin serta bekas pemain PDRM, Asyidi Dil Ashar Yusof juga tampil menyarung jersi Dugong All Stars.

 Turut beraksi buat pasukan berkenaan ialah barisan pengulas Astro Arena terdiri daripada Zainal Abidin Rawop, Hafizal Hamad, Asmawi Bakiri, Nazzab Hidzan dan Hasnizam Uzir serta beberapa pendengar ERA fm yang terpilih daripada sesi pemilihan.

 Pada perlawanan yang berlangsung selama 70 minit itu, Dugong All Stars berjaya mendahului 1-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Akim pada minit ke-31 apabila sepakan deras vokalis kumpulan Akim & The Majistret itu gagal diselamatkan Kam Choon.

 Namun pasukan Pilihan Harimau Malaysia bangkit garang membalas tiga gol pada babak kedua menerusi jaringan Nizaruddin pada minit ke-38, Hassan Sazali minit ke-41 dan Shahril minit ke-47 untuk memastikan kemenangan 3-1 milik skuad kendalian Kim Swee itu.

 Hasil jualan tiket daripada hampir 20,000 penonton yang hadir menyaksikan perlawanan tersebut disumbangkan kepada Pakatan Pemuliharaan Harimau Malaysia (MYCAT) untuk meneruskan usaha-usaha pemuliharaan harimau di Malaysia.

KREDIT FOTO: ASIANA.MY