Perlawanan antarabangsa A: Malaysia 0-0 Hong Kong

Skuad kebangsaan kendalian Dollah Salleh mencatat keputusan seri 0-0 dengan Hong Kong pada perlawanan antarabangsa A di Stadium Shah Alam, malam tadi.
 
 Turun tanpa kapten, Safiq Rahim yang digantung satu perlawanan akibat kad merah ketika perlawanan antarabangsa A bertemu Oman, Mac lalu, tugas itu digalas Indra Putra Mahayuddin.
 
 Peluang terbaik skuad Harimau Malaya pada separuh masa pertama hadir pada minit ke-36 menerusi rembatan kaki kiri Joseph Kalang Tie selepas sepakan sudut Indra tetapi berjaya ditepis penjaga gol Hong Kong, Yapp Hung Fai.
 
 Hong Kong kemudian beroleh peluang terbaik pada separuh masa kedua, namun sepakan percuma Cheung Kin Fung berjaya ditepis penjaga gol gantian Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-68.
 
 Safee Sali yang masuk menggantikan Amri Yahyah hampir meletakkan namanya sebagai penjaring tetapi rembatan kencangnya pada minit ke-76 berjaya diselamatkan Hung Fai untuk kedudukan 0-0 kekal sehingga wisel penamat.
 
BARISAN PEMAIN MALAYSIA:
 
1. Farizal Marlias (22. Khairul Fahmi Che Mat m-62); 16. S Kunanlan, 2. Muslim Ahmad, 3. Fadhli Shas, 21. Zubir Azmi; 19. Joseph Kalang Tie (14. Azammuddin Akil m-62), 15. Junior Eldstal (18. Ahmad Hazwan Bakri m-85), 11. Ahmad Syamim Yahya (12. Nasir Basharuddin m-45), 13. Indra Putra Mahayuddin (K) (20. R Gopinathan m-76); 17. Amri Yahyah (10. Safee Sali m-68), 7. Afiq Azmi.
 
Simpanan tidak digunakan: 23. Khairul Azhan Khalid, 4. Mahali Jasuli, 5. Afif Amiruddin, 6. Yong Kuong Yong, 9. Nazrin Nawi.
 
KOMEN JURULATIH MALAYSIA, DOLLAH SALLEH
 
"Persembahan malam ini boleh dikatakan okey terutama separuh masa kedua apabila kami bermain dengan baik. Tapi masih jentera depan kurang naluri untuk menjaringkan gol.
 
 "Tapi secara keseluruhan, selepas seminggu latihan apabila saya lebih fokus kepada pemilihan 23 pemain. Itu mungkin memberi sedikit masalah dalam persiapan pasukan untuk menghadapi perlawanan ini.
 
 "Apa yang saya lihat, kami masih bermasalah dalam melakukan hantaran dan sokongan daripada barisan tengah ketika kami menyerang. Itu yang perlu diperbaiki dan penyerang kami juga perlu melakukan sesuatu yang lebih.
 
 "Apa pun tempoh lima hari menjelang perlawanan pertama Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 bertemu Timor Leste (11 Jun), saya rasa kami mampu untuk melakukannya bagi mencari tiga mata pertama.
 
KOMEN JURULATIH HONG KONG, KIM PAN-GON
 
"Ya ada beberapa sasaran untuk dicapai pada perlawanan ini. Sasaran untuk tidak bolos tercapai tetapi satu lagi sasaran kami iaitu untuk mendominasi bahagian penting, itu yang masih perlu diperbaiki.
 
 "Pemain menunjukkan semangat tinggi dan saya rasa kami sudah bersedia untuk memulakan kempen kelayakan. Saya melihat beberapa perkara positif menerusi perlawanan ini.
 
 "Mengenai pasukan Malaysia, saya pernah bertemu mereka dua setengah tahun yang lalu dan nampak kedua-dua pasukan semakin mantap terutama dari segi fizikal apabila sukar untuk kami bersaing di posisi tengah.
 
 "Kami melihat video aksi Malaysia di Piala Suzuki AFF dan ia cukup menarik. Saya rasa perlawanan kali ini lebih baik daripada perlawanan sebelum ini."
 
J Category: 
uncategorised7