PERLAWANAN ANTARABANGSA TIER 1: JORDAN 4-0 MALAYSIA

2021-10-07

Skuad kebangsaan, Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe tewas 4-0 kepada pasukan ranking ke-93 dunia, Jordan pada Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Stadium King Abdullah II, Amman, Jordan, malam tadi.

Dengan membawa hanya sembilan pemain dari skuad ke Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, UAE pada Jun lalu ke Amman bagi siri dua perlawanan persahabatan bertemu Jordan dan Uzbekistan ini, tujuh daripadanya diturunkan Cheng Hoe dalam kesebelasan utama.

Empat pemain baharu - Ariff Farhan Md Isa, Akram Mahinan, Baddrol Bakhtiar dan Faisal Halim melengkapkan barisan permulaan Harimau Malaya yang kini berkedudukan ranking ke-154 dunia.

Babak awal perlawanan memperlihatkan tuan rumah lebih banyak menguasai permainan dan mengasak tetapi benteng pertahanan Harimau Malaya berjaya menutup ruang dengan disiplin permainan yang baik.

Percubaan berbahaya Jordan hadir pada minit ke-29, namun rembatan dari luar kotak penalti oleh Musa Al-Taamari  berjaya ditepis keluar penjaga gol Harimau Malaya, Khairulazhan Khalid.

Jordan kendalian Adnan Hamad bagaimanapun berjaya juga memperoleh gol pertama pada minit ke-34 selepas Ali Olwan menyudahkan hantaran dari sebelah kanan.

Baha' Faisal hampir menambah jaringan buat Jordan tetapi percubaannya di depan pintu gol Malaysia pada minit ke-38 berjaya dihadang keluar dengan menggunakan kaki oleh Khairulazhan untuk menyelamatkan seketika gawangnya.

Seminit berselang, jaringan Baha' Faisal pula dibatalkan oleh pengadil selepas dia terlebih dahulu dikesan berkedudukan ofsaid ketika menyudahkan bola yang melantun selepas terkena tiang gol Malaysia.

Namun menuju waktu rehat, Jordan berjaya menambah gol kedua, kali ini salah faham di antara Khairulazhan dan ketua pasukan Harimau Malaya, Aidil Zafuan Abd Radzak yang bertembung sesama sendiri membuka ruang buat kapten Jordan, Odai Al-Saify mudah menolak bola masuk ke gawang Malaysia pada minit ke-42.

Ketinggalan 2-0 pada babak pertama, Cheng Hoe melakukan dua pertukaran serentak sebaik separuh masa kedua bersambung dengan membawa masuk Arif Fadzilah Abu Bakar dan Hakimi Abdullah bagi menggantikan Akram Mahinan dan Ariff Farhan Md Isa.

Namun sebaliknya Jordan pula berjaya menambah gol ketiga pada minit ke-47 selepas pemain pertahanan Harimau Malaya, Irfan Zakaria gagal menanduk baik bola hantaran jauh lalu membuka ruang buat Ali Olwan melepaskan rembatan deras menewaskan Khairulazhan.

Dua minit berselang, Ali Olwan berjaya melengkapkan hatriknya apabila menyudahkan satu serangan balas untuk gol keempat Jordan.

Cheng Hoe kemudian melakukan empat lagi pertukaran pada baki setengah jam terakhir perlawanan dengan membawa tenaga baharu - Mukhairi Ajmal Mahadi, Luqman Hakim Shamsudin, Quentin Cheng dan Kenny Pallraj, namun kedudukan 4-0 itu kekal sehingga wisel penamat.

Skuad Harimau Malaya selepas ini akan bertemu pasukan ranking ke-84 dunia, Uzbekistan bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 seterusnya di Stadium Antarabangsa Amman pada Sabtu, 9 Oktober 2021 sebelum kembali ke tanah air, hari berikutnya.

 

JORDAN: 1. Abdallah Al-Fakhouri (PG) (22. Yazeed Abulaila 46'); 23. Ihsan Haddad, 6. Abdallah Nasib (19. Anas Bani-Yaseen 79'), 5. Yazan Al-Arab, 21. Mohammad Abuhasheesh (2. Mustafa Eid 79'); 10. Musa Al-Taamari (11. Yaseen Bakheet 67'), 4. Baha' Abdel-Rahman, 17. Rajaei Hassan (14. Nezar Al Rashdan 79'), 8. Odai Al-Saify (K) (7. Anas Hammad 67'); 20. Ali Olwan, 9. Baha' Faisal.

MALAYSIA: 1. Khairulazhan Khalid (PG); 16. Rizal Ghazali, 7. Aidil Zafuan Abd Radzak (K), 17. Irfan Zakaria, 4. Ariff Farhan Md Isa (11. Hakimi Abdullah 46'); 12. Akram Mahinan (2. Arif Fadzilah Abu Bakar 46'), 8. Baddrol Bakhtiar; 24. Faisal Halim (22. Quentin Cheng 71'), 10. Nazmi Faiz Mansor (14. Mukhairi Ajmal Mahadi 61'), 20. Syafiq Ahmad (15. Kenny Pallraj 82'); 9. Guilherme de Paula (18. Luqman Hakim Shamsudin 62').

 

Kredit Foto: www.jfa.jo