PERLAWANAN ANTARABANGSA TIER 1: MALAYSIA 2-0 NEPAL

2019-06-03

Skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe berjaya memperoleh kemenangan moral menjelang Pusingan 1 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 selepas menewaskan pasukan ranking ke-161 dunia, Nepal 2-0 pada Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Harimau Malaya yang kini di ranking ke-168 dunia turun dengan kesebelasan terbaik kecuali pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh yang tidak dapat beraksi kerana menjalani penggantungan perlawanan. Pemain pertahanan kiri berdarah campuran, La’Vere Corbin-Ong tampil buat kali pertama.

Selepas rembatan pemain sayap, Syazwan Zainon singgah ke tiang gol kiri Nepal, gawang Malaysia pula nyaris dibolosi pada minit ke-28, mujur percubaan Sujal Shrestha selepas menyambut bola tumbukan penjaga gol yang juga kapten Malaysia, Farizal Marlias terkena sedikit kaki Adam Nor Azlin dan sekadar menggegar tiang gol.

Pada minit ke-32, Malaysia beroleh peluang terbuka menerusi Safawi Rasid selepas kesilapan pemain pertahanan, Devendra Tamang, namun rembatan kaki kirinya berjaya diselamatkan penjaga gol Nepal, Kiran Chemjong.

Terikat 0-0 pada separuh masa pertama, Cheng Hoe melakukan dua pertukaran pada awal babak kedua dengan memasukkan Akhyar Rashid dan Nor Azam Abdul Azih bagi menggantikan Syazwan Zainon dan Akram Mahinan.

Hasilnya, Malaysia berjaya memperoleh gol pertama menerusi sepakan penalti Safawi pada minit ke-51 selepas Akhyar dijatuhkan Ananta Tamang.

Gol kedua Malaysia kemudian terhasil pada minit ke-82 selepas pemain pertahanan, Shahrul Saad yang tidak dikawal berjaya menanduk masuk boleh sepakan percuma Nor Azam dari sebelah kanan.

Skuad Harimau Malaya selepas ini akan bertemu Timor-Leste, ranking ke-195 dunia bagi aksi timbal balik Pusingan 1 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat, 7 Jun 2019 (aksi tempat sendiri) dan Selasa, 11 Jun 2019 (aksi tempat lawan).

 

MALAYSIA: 1. Farizal Marlias (GK)(C); 2. Matthew Davies, 3. Shahrul Saad, 5. Adam Nor Azlin (24. Dominic Tan 74’), 7. La'Vere Corbin-Ong (6. Syazwan Andik Ishak 61’); 12. Akram Mahinan (8. Nor Azam Abdul Azih 46’), 4. Halim Saari (14. Syamer Kutty Abba 70’); 11. Safawi Rasid (21. Faisal Abdul Halim 61’), 20. Syafiq Ahmad, 16. Syazwan Zainon (19. Akhyar Rashid 46’); 9. Norshahrul Idlan Talaha.

NEPAL: 16. Kiran Chemjong (GK), 3. Biraj Maharjan (C), 4. Ananta Tamang, 6. Devendra Tamang, 10. Bimal Rana (13. Tej Tamang 61’), 12. Bikram Lama (11. Santosh Tamang 86’), 15. Sujal Shrestha (9. Sunil Bal 74’), 18. Nawayug Shrestha (7. Abhishek Rijal 66’), 21. Ravi Paswan (14. Anjan Bista 59’), 23. Ranjit Dhimal, 32. Rohit Chand.

Pengadil: Nazmi Nasaruddin